
Anak Perlis raih Anugerah Pengarah, buktikan TVET bukan lagi laluan kedua
"Terima kasih kepada semua yang percaya pada saya. Tanpa kalian, saya mungkin tidak mampu sampai ke tahap ini."
Itulah luahan penuh rasa syukur dan rendah hati Azry Haikal Arizal, anak muda berusia 22 tahun dari Kangar, Perlis apabila diumum penerima Anugerah Pengarah sempena Istiadat Konvokesyen Ke-37 Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) baru-baru ini.
Graduan Diploma Seni Bina yang juga anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia tidak pernah menyangka akan menerima anugerah tersebut.
"Anugerah ini benar-benar mengejutkan. Ia adalah milik semua yang pernah membantu saya antaranya pensyarah, rakan-rakan dan keluarga sendiri," ujarnya.
Azry Haikal yang kini menimba pengalaman sebagai Technical Assistance di Firma TGM Architect, Kangar sudah pun memasang impian besar untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengejar cita-cita sebagai arkitek terkenal negara.

"Saya percaya dengan asas yang kuat daripada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sokongan keluarga, diri ini mampu melangkah lebih jauh. Doakan saya," jelasnya lagi.
Sepanjang pengajian di POLIMAS, Azry Haikal tidak hanya cemerlang dalam akademik.
Beliau turut dikenali sebagai pelajar yang aktif dalam pelbagai pertandingan dan sering menerima anugerah seperti Anugerah Apresiasi TVET POLYCC Zon Utara 2024 (kategori pelajar), johan Pertandingan BIM, tempat ketiga PolySkills (kategori Digital Construction) dan penyertaan dalam Pra Kelayakan World Skills serta diangkat sebagai ikon TVET POLIMAS sekali gus menjadi inspirasi kepada pelajar lain.
Sementara itu, kejayaan Azry Haikal turut menjadi kebanggaan ibu bapanya, Arizal Abdullah, seorang pegawai kesihatan dan Mariana Muda (jururawat).
"Kami sentiasa menyokong dan mendoakan dia dalam setiap langkah. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk masa depan yang lebih cemerlang," ujar mereka.
Dalam pada itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris menyifatkan pencapaian Azry Haikal sebagai manifestasi kejayaan sistem TVET yang kini diiktiraf sebagai landasan utama membentuk insan berkualiti.

"TVET hari ini bukan lagi laluan kedua. Graduan POLIMAS seperti Azry Haikal adalah bukti bahawa TVET mampu melahirkan insan holistik yang boleh menyumbang secara aktif kepada masyarakat dan negara," ujarnya.
Terdahulu, Anugerah Pengarah merupakan penghormatan tertinggi diberikan kepada graduan yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, malah aktif dalam kokurikulum, kepimpinan dan keusahawanan sepanjang tempoh pengajian.
Ia bukan sekadar pengiktirafan, tetapi simbol keunggulan seorang pelajar holistik.