Muhammad Firdaus (kiri) berharap sumbangan orang ramai dapat membantunya melanjutkan pengajian di USIM. Turut serta dalam gambar, Mohd Nurfarhan (tengah) dan seorang lagi penghuni Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra.
Muhammad Firdaus (kiri) berharap sumbangan orang ramai dapat membantunya melanjutkan pengajian di USIM. Turut serta dalam gambar, Mohd Nurfarhan (tengah) dan seorang lagi penghuni Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra.

Anak yatim rayu sumbangan demi jejakkan kaki ke universiti

SITI ZUBAIDAH ZAKARAYASITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
15 Sep 2025 10:03am

Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra, Sungai Petani, Kedah merayu orang ramai merealisasikan impian salah seorang penghuninya, Muhammad Firdaus Abdullah, 19, untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Bendahari pertubuhan itu, Mohd Nurfarhan Sobri berkata, sumbangan diperlukan bagi membantu Muhammad Firdaus menyediakan kelengkapan pengajian sebelum mendaftar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan pada 24 September ini.

Menurutnya, Muhammad Firdaus yang pernah belajar di Sekolah Menengah Agama Daris dan seterusnya menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), akan mengikuti kursus Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah di USIM.

"Perbelanjaan Muhammad Firdaus untuk ke sana bergantung sepenuhnya kepada dana rumah anak yatim termasuk pembelian barangan, peralatan belajar dan lain-lain.

"Sebelum ini, ada juga sumbangan awal yang telah diberikan dan digunakan untuk pembelian pakaian serta barangan lain, bagaimanapun bantuan itu masih belum mencukupi," katanya.

Jelas Mohd Nurfarhan, selain Muhammad Firdaus, pertubuhan itu turut menanggung enam lagi pelajar yang sedang menyambung pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara hasil sumbangan orang ramai.

"Selain persiapan untuk Muhammad Firdaus dan penghuni lain yang kini menyambung pengajian, dana juga diperlukan bagi menampung perbelanjaan 24 penghuni berusia antara 11 hingga 17 tahun yang masih bersekolah," katanya.

Beliau menegaskan, pertubuhan itu sentiasa mengutamakan kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim, namun kos kewangan semakin meningkat termasuk keperluan menyediakan dana kecemasan atau perbelanjaan luar jangka.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kekurangan dana, aspek pendidikan tetap menjadi keutamaan. Oleh itu, kami merayu orang ramai untuk sama-sama menyumbang demi masa depan dan impian mereka," katanya.

Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, sejak bapanya meninggal dunia dan ibunya ditempatkan di sebuah pusat jagaan akibat masalah kesihatan, rumah anak yatim itulah menjadi tempat berteduh.

"Saya berterima kasih atas sokongan semua dan berharap agar impian untuk menyambung pengajian dipermudahkan," jelasnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun RHB Bank bernombor 2520-2800-0130-55 atas nama Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp