Dr Muharam bersama isterinya, Fuziah.
Dr Muharam bersama isterinya, Fuziah.

Cinta dan dahagakan ilmu dorong warga emas raih PhD

AZLEENDA SAHALUDIN
01 Dec 2023 08:00am
A
A
A

“Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui.” Surah Az-Zumar ayat 9.

Menerusi petikan ayat al-Quran ini, membuktikan bahawa ALLAH SWT memuliakan orang-orang berilmu serta mereka yang mencari ilmu walaupun sudah lanjut usia.

Tertarik untuk mengangkat perjuangan seorang insan gigih menuntut ilmu sehingga ke menara gading, Sinar Bestari kongsikan kisah pesara guru yang kini berusia 79 tahun, berjaya menamatkan pengajian sehingga menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Dr Muharam Awang akhirnya bergelar graduan PhD dalam bidang Kesusasteraan Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menerima skrol yang disampaikan oleh Pro-Canselor UKM, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Majlis Konvokesyen UKM kali ke-51.

Menurut bapa tujuh anak dan datuk kepada 17 cucu itu, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan rintangan seperti terpaksa berulang-alik dari Melaka ke kampus, selain mengalami penyakit katarak yang menyebabkan matanya kabur, namun ia tidak menghalang dirinya terus berjuang menamatkan pengajian.

“Saya terpaksa meminta anak yang tinggal di Batu Pahat, Johor untuk menaipkan tesis bagi kajian yang dilaksanakan selepas mendapat tunjuk ajar dan sokongan daripada penyelia iaitu Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Bitara Melayu), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Dr Zubir Idris.

“Mata saya kabur dan tidak dapat membaca sewaktu mahu menyiapkan tesis. Saya menjalani pembedahan katarak pada Mei lalu dan alhamdulillah selepas penglihatan pulih, tesis itu berjaya disiapkan,” katanya.

Muharam turut berkongsi pengalaman, pada waktu dahulu guru sekolah menengah dipandang tinggi dan beliau pada ketika itu mengajar di sekolah rendah.

Artikel Berkaitan:

Hasil daripada rasa rendah diri dan pernah dicabar, beliau menyambung pengajian di peringkat diploma pada tahun 1965 dan pernah mengajar Tingkatan Enam untuk subjek Pengajian AM serta bertugas sebagai tenaga pengajar di kolej sebelum bersara.

Muharam juga memberitahu, sikap cinta dan dahagakan ilmu mendorong dirinya untuk berjuang menamatkan pengajian tersebut walaupun proses menyiapkan tesis sangat berat.

“Pada peringkat awal, saya berdepan banyak masalah ditambah lagi apabila memerlukan kemahiran komputer. Bagi saya, perkara teknikal ini susah.

“Alhamdulillah, selain pertolongan penyelia dan sokongan isteri, Fuziah Md Taha, 74, anak-anak juga sangat membantu. Mereka pun melanjutkan pengajian ke universiti sekali gus menjadi motivasi kepada saya,” ujarnya.

Bagi Muharam, pengalaman belajar sehingga ke peringkat PhD adalah satu kepuasan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok