Gabungan empat bidang cipta rawatan inovatif
Bantu pelajar fahami kerumitan dalam dunia sains kesihatan
Penawaran bidang baharu di universiti awam mahupun swasta sememangnya memberikan pelbagai kebaikan, selain memperoleh pengetahuan dari segi konsep asas berkaitan, integrasi dan kepelbagaian subjek.
Secara tidak langsung, bidang sains itu mampu meningkatkan pemahaman pelajar tentang hubungan rumit antara disiplin seperti pembangunan dan fungsi otak, faktor genetik dengan pengaruh pemakanan.
Ia juga menggalakkan inovasi dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, pertanian dan teknologi makanan.
Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Bioperubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Professor Madya Dr Sharifah Sakinah Syed Alwi berkata, lebih menarik lagi apabila penawaran subjek itu sangat relevan dan tepat dengan implementasi keselamatan makanan yang baharu sahaja dilancarkan oleh Malaysia iaitu Blueprint Keselamatan Makanan 2024.
Menurutnya, gabungan keempat-empat bidang itu membolehkan kerjasama antara penyelidik dan doktor dalam mencipta rawatan inovatif.
“Ia bagi merawat gangguan perkembangan dan penyakit neurodegeneratif (kemerosotan neuro) serta merumus pelan pemakanan disesuaikan dengan profil genetik individu.
“Pendekatan interdisiplin ini memainkan peranan yang sangat penting dalam pencegahan dan pengendalian penyakit berkaitan kekurangan nutrisi, menyumbang kepada kemajuan dalam bidang perubatan moden,” katanya.
Kepentingan bidang baharu di IPT
1) Memenuhi permintaan pasaran kerja
Dunia pekerjaan sentiasa berubah dengan keperluan baharu dalam sektor teknologi, kesihatan dan data analitik. Jadi, bidang baharu ini mampu melahirkan graduan yang memenuhi permintaan majikan masa kini.
2) Meningkatkan daya saing graduan
IPT di negara ini memainkan peranan besar dalam memastikan graduan mereka menjadi tenaga kerja yang inovatif dan berdaya saing di persada antarabangsa.
3) Menyokong pembangunan negara
IPT dapat memainkan peranan penting dalam membantu pelajar memasuki bidang yang diminati khususnya subjek Sains.
REAKSI PELAJAR
"Apa yang saya faham tentang kursus DNA genetik ini adalah kita dapat mengetahui cara gen diwarisi dari satu generasi ke generasi lain. Secara tidak langsung, ia membantu untuk mengekalkan atau membetulkan gen-gen yang mengalami kecacatan ataupun mempunyai penyakit seperti talismia atau kanser. Jadi, dengan adanya kos seperti ini, kita dapat merawat penyakit yang sukar dipulihkan." - Pelajar aliran Sains, Muhammad Khuzairi Izuan, 17.
"Sekiranya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ingin menyambung bidang ini, mereka perlu mengambil aliran Biologi di sekolah menengah dan perlu mendapat kredit dalam prosedur pelajaran. Selain itu, kursus ini merupakan pilihan terbaik buat mereka yang telah lama ingin menyumbang kepada sains dan teknologi di Malaysia." - Pelajar aliran Sains, Adam Nurahlami Muiz Rosi, 17.
"Program baharu yang ditawarkan itu berguna untuk teknologi kesihatan, lebihkan kajian dan mungkin boleh menyembuhkan mutasi serta sindrom sama ada dalam genetik atau semasa ibu mengandung. Saya juga rasa bidang ini sesuai untuk bakal doktor yang hendak pengajian lebih mendalam mengenai bidang sains atau mungkin mereka boleh menjadi pakar." - Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee, Ahmad Khidir Ahmad Nazri, 17.