Norshila bersama anaknya, Akmal Hafiz gembira menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen ke-25 UTHM.
Norshila bersama anaknya, Akmal Hafiz gembira menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen ke-25 UTHM.

Ibu & anak rai kejayaan 'konvo' bersama

07 Dec 2025 10:02pm

Graduan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Norshila Abu Bakar, 51, bersyukur menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Awam pada Istiadat Konvokesyen ke-25 universiti itu. 

Lebih istimewa, kegembiraan itu dikongsi bersama anak sulungnya, Akmal Hafiz Nurhizal Azam, 25, yang turut meraih Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Alam Sekitar) pada hari yang sama.

Mengimbau perjalanannya untuk mendapatkan PhD, pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah itu berkata, dia hampir melupakan hasrat tersebut apabila terpaksa menangguhkan beberapa tugasan dan penyelidikan di makmal selama dua tahun ketika berlakunya pandemik COVID-19.

"Ketika itu saya hanya menghabiskan masa di rumah. Itulah, mungkin ada hikmahnya saya lambat habis untuk PhD ini, hari ini saya dapat berkonvo, menerima sijil dan memakai jubah bersama-sama anak saya ini.

"Bukan sahaja gembira tetapi lebih kepada bersyukur, sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmahnya," katanya selepas tamat Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen ke-25 UTHM, di Dewan Sultan Ibrahim di sini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, semasa dia menerima skrol Ijazah Sarjana Pendidikan 25 tahun lepas juga di UTHM, Akmal turut 'menemaninya' dalam kandungan yang baru mencecah empat bulan.

Bagi Akmal yang memasuki UTHM pada 2021, ibunya itu turut berperanan sebagai guru kerana sering membantu dan menemaninya sepanjang pengajian.

"Saya ini asalnya pelajar aliran sastera tetapi sokongan ibu, tunjuk ajar ibu yang juga berada di UTHM, saya bersemangat untuk terus belajar...kerana ibu sentiasa ada. Malah ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ibu turut membantu saya belajar secara dalam talian," katanya.

Pada istiadat konvokesyen yang bermula hingga 11 Dis, seramai 4,915 graduan daripada pelbagai peringkat pengajian menerima sijil masing-masing iaitu terdiri daripada 142 penerima PhD, ijazah sarjana (393), ijazah sarjana muda (3,610) dan diploma (770).

Artikel Berkaitan:

Pro-Canselor UTHM, Tan Sri Datuk Azmi Rohani menyempurnakan sidang pertama dan kedua.

Istiadat itu juga menyaksikan Presiden Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF), Tan Sri Datuk Soh Thian Lai dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan industri negara. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI

  • Graduan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Norshila Abu Bakar berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Awam dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia pada Istiadat Konvokesyen ke-25
  • Norshila dan anak sulungnya, Akmal Hafiz Nurhizal Azam, meraih ijazah masing-masing pada hari yang sama dengan Akmal mendapat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Alam Sekitar)
  • Perjalanan Norshila ke arah PhD terhenti selama dua tahun kerana pandemik COVID-19 tetapi ia memberi peluang kepadanya untuk berkonvo bersama anaknya
  • Norshila sebelum ini telah menerima Ijazah Sarjana Pendidikan dari UTHM 25 tahun lalu ketika mengandungkan Akmal
  • Seramai 4,915 graduan UTHM menerima sijil masing-masing pada istiadat konvokesyen tersebut, meliputi pelbagai peringkat pengajian termasuk PhD, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda, dan diploma
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp