Siti Munirah sedang melakukan pemantauan tindak balas terhadap ikan zebra.
Siti Munirah sedang melakukan pemantauan tindak balas terhadap ikan zebra.

Ikan zebra model haiwan alternatif dalam penyelidikan

19 Apr 2024 07:15am

Tikus makmal sering dipilih dan digunakan oleh penyelidik untuk menjalankan kajian tentang perkembangan vertebrata dan penyakit, termasuk dalam bidang toksikologi.

Walau bagaimanapun, eksperimen saintifik yang melibatkan haiwan adalah mahal, memakan masa dan menimbulkan kebimbangan etika berhubung dengan kebajikan haiwan.

Sebagai tindak balas terhadap isu ini, Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) mengumumkan hasrat untuk menghentikan penggunaan mamalia, termasuk tikus dan mencit, dalam penyelidikan menjelang tahun 2035.

Secara amnya, kajian toksikologi melibatkan penilaian keselamatan aspek biologi produk, ubat-ubatan dan bahan kimia kepada pengguna.

Oleh hal yang demikian, ikan zebra telah muncul sebagai model haiwan yang berpotensi sejak dua dekad yang lalu di seluruh dunia terutama di dalam kajian toksikologi.

Hal ini turut diperakukan Ketua Laboratori Penyelidikan Ubatan dan Produk Semulajadi (NaturMeds) di Institut Biosanis (IBS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Siti Munirah Mohd Faudzi yang menjalankan kajian dalam bidang ini.

Pemberian makan udang artemia pada ikan zebra.
Pemberian makan udang artemia pada ikan zebra.

Katanya, ikan zebra mempunyai kesamaan genetik yang besar dengan manusia dan keunikan seperti kadar pembiakan cepat, kebolehan untuk diubahsuai secara genetik, kos rendah dan kemudahan pengendalian yang baik berbanding tikus makmal.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kajian telah menunjukkan bahawa otak ikan zebra dan mamalia berkongsi sistem neuroanatomikal dan sistem isyarat neuronik asas yang relevan dengan penyakit otak manusia.

Hal ini menjadikan ikan zebra sebagai model yang berguna untuk menilai kecacatan tingkah laku sosial termasuk autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD).

Penggunaan ikan zebra di dalam kaedah penyaringan inovatif turut berpotensi meningkatkan kejayaan dan produktiviti dalam penyelidikan, penemuan dan pembangunan ubat yang berkaitan dengan penyakit otak.

Siapa sangka ikan zebra yang bersaiz 2 sentimeter hingga 3.5 sentimeter ini membesar melalui pemakanan udang artemia yang perlu direndam dalam air garam selama dua hari sebelum telur udang ini menetas.

Namun demikian, Siti Munirah menyatakan bahawa, terdapat beberapa faktor yang perlu diberi perhatian jika ingin menggunakan ikan zebra dalam ujikaji termasuk pemeliharaan yang baik, kebersihan dan kestabilan persekitaran akuatik dan pemakanan yang betul.

Mengulas berkenaan kekurangan populasi ikan ini, beliau menegaskan, peraturan ketat diperlukan untuk mengawal penggunaan ikan zebra dalam kajian saintifik bagi mengelakkan ancaman terhadap populasi ikan zebra.

Justeru itu, pembiakan ikan zebra di Laboratori Ikan Zebra NaturMeds, IBS, UPM, telah dilaksanakan sejak 2012 untuk meningkatkan populasi ikan tersebut di dalam makmal bertujuan memberikan kemudahan kepada penyelidik UPM terutamanya di NaturMeds, untuk melakukan pelbagai kajian termasuk dalam penemuan dadah, neurosains dan ekotoksikologi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp