Zambry ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan iFUTURE 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Isnin.
Zambry ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan iFUTURE 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Isnin.

IPT disaran ambil langkah berjaga-jaga, kekang penularan influenza - Zambry

14 Oct 2025 09:03am

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan semua institusi pengajian tinggi (IPT), supaya mengambil langkah yang perlu bagi mengelak sebarang kemungkinan penularan penyakit influenza dalam kalangan mahasiswa.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, walaupun setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat tentang penularan penyakit berkenaan di IPT, kementerian tidak memandang ringan perkara itu dan memantau rapi perkembangannya.

Ini berikutan laporan terkini yang menyatakan beberapa sekolah di beberapa buah negeri telah diarahkan ditutup sementara oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing, selain 6,000 murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan telah dijangkiti penyakit itu setakat ini.

"Seperti yang kita sedia maklum penyakit ini mungkin melibatkan peringkat sekolah, tetapi kita juga tidak mengambil mudah perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud.

Khamis lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.

Menurut KKM, semua negeri mencatatkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9), dan Kedah (5), dengan kebanyakan kes menunjukkan simptom ringan.

Sementara itu, mengulas mengenai program iFUTURE, beliau berkata, pendekatan seumpama itu merupakan usaha KPT dalam membina nilai-nilai kepimpinan dalam kalangan pelajar di universiti, di samping peluang untuk berinteraksi dalam konteks antarabangsa bersama rakan-rakan pelajar dari 50 buah negara.

Artikel Berkaitan:

"Jadi mereka dapat berinteraksi dalam tempoh tiga hari ini, mengenali antara satu sama lain. Inilah pendekatan sebenarnya yang mempunyai impak yang besar untuk jangka panjang, kerana satu hari nanti mereka ini juga akan menjadi pemimpin di negara masing-masing dan bayangkan bagaimana Malaysia memainkan peranan itu," katanya. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan Tinggi mengingatkan IPT mengelak penularan penyakit influenza
  • Walaupun tiada maklumat penularan di IPT, kementerian memantau perkembangannya
  • Beberapa sekolah diarahkan tutup sementara, 6,000 murid dijangkiti
  • 97 kluster influenza A dan B dilaporkan, dengan majoriti di institusi pendidikan
  • Program iFUTURE adalah usaha KPT membina nilai kepimpinan pelajar universiti
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp