Jasa & budi baik Naib Canselor UKM akan dikenang sampai bila-bila
"Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman atas khidmat bakti dan jasa sepanjang menjalankan tugas sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," demikian hantaran UKM di Facebook mereka pada Isnin.
Perkongsian itu merujuk kepada peletakan jawatan Mohd Ekhwan, 56, yang berkuat kuasa, Ahad.
Difahamkan, beliau telah menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Naib Canselor UKM bermula 1 Januari 2021 hingga 2 Februari 2025.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Mohd Ekhwan mengucapkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui UKM bersama barisan pengurusan utama.
"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi yang memberi peluang kepada saya untuk menerajui UKM hingga ke tahap ini.
"Saya juga mendoakan UKM terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, di ruangan komen Facebook UKM, warga maya menitipkan terima kasih mereka kepada Mohd Ekhwan yang telah menjadikan universiti itu cemerlang dan gemilang dalam pelbagai aspek.
"Jasa dan budi baik Prof Datuk akan tetap dikenang. Moga dikurniakan kebaikan, keselamatan, dipermudahkan, ketakwaan dan dirahmati ALLAH dunia akhirat. Aamiin," tulis Shima Mohamed.
"Beliau dikagumi dari segi ilmu, pengalaman yg dicurahkn dan khidmat bakti kepada UKM termasuklah kepada kakitangan sokongan mahupun pengurusan atasan," maklum Jeffri Je.
"Terima kasih Prof Datuk. Selamanya kami (staf) akan kenang jasa yang telah dilakukan antaranya claim (tuntutan) cermin mata walaupun bagi sesetengah orang macam tak penting...tapi bagi kami (staf yang bawah) sangat hargai, sampai bila-bila," beritahu Khairul Azmi Adzhar
"Jasa Datuk akan dikenang selama-lamanya," ujar Mohd Wahid Samsudin.
Terdahulu, Mohd Ekhwan merupakan graduan UKM pada 1992 (Ijazah Am) dan 1993 (Ijazah Kepujian) dalam bidang Geografi (fizikal), Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan.
Beliau memperoleh Sarjana (MSc) dari University of Manchester dan Doktor Falsafah (PhD) dari University of Newcastle Upon Tyne UK dalam bidang Pemodelan Hidrologi Sekitaran, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Pengurusan Sumber Air.
Pelbagai jawatan telah digalas oleh beliau antaranya Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).