No Image Caption

Golongan belia 'job-hopping' selepas 18 bulan

17 Jan 2026 10:31am

Sejak kebelakangan ini, golongan belia yang sering menukar pekerjaan seawal 18 bulan pertama semakin ketara dan kerap menjadi perbualan dalam masyarakat.

Fenomena yang sering digelar sebagai job-hopping ini bukan sahaja dibincangkan di media sosial, malah turut menjadi kebimbangan majikan dan pembuat dasar.

Ada yang melihatnya sebagai tanda kurang komitmen, manakala sebahagian lain menganggapnya sebagai refleksi perubahan dunia pekerjaan masa ini.

Persoalannya, adakah golongan belia benar-benar gemar menukar pekerjaan tanpa sebab, atau mereka sebenarnya sedang berdepan dengan realiti ekonomi dan sosial yang semakin mencabar?

Jika diteliti, landskap pekerjaan hari ini jauh berbeza berbanding dahulu. Pada masa lalu, kekal lama dalam satu pekerjaan sering dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan. Namun kini, laluan kerjaya tidak lagi bersifat lurus.

Perkembangan teknologi, ekonomi digital serta kemunculan ekonomi gig telah mengubah cara belia melihat pekerjaan dan masa depan mereka.

Bagi ramai belia, pekerjaan bukan sekadar sumber pendapatan tetapi juga ruang untuk membina kemahiran, mencari pengalaman dan menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja yang sentiasa berubah.

Dalam keadaan ini, pertukaran pekerjaan dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan penyesuaian, bukannya satu tindakan terburu-buru.

Antara faktor utama yang mendorong belia menukar pekerjaan ialah isu gaji dan kos sara hidup. Tidak dapat dinafikan, peningkatan harga barangan keperluan dan kos perumahan memberi tekanan besar kepada golongan muda, khususnya mereka yang baru memasuki alam pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Ramai lepasan graduan mendapati gaji permulaan yang ditawarkan tidak seiring dengan tahap pendidikan dan beban kerja yang dipikul.

Keadaan ini menyebabkan mereka mencari peluang pekerjaan lain yang menawarkan ganjaran lebih baik.

Bagi sebahagian belia, keputusan menukar pekerjaan bukan didorong oleh keinginan untuk hidup mewah, sebaliknya usaha untuk mencapai kestabilan kewangan dan kelangsungan hidup.

Selain itu, peluang pembangunan kerjaya turut menjadi faktor penting. Ramai belia berasa sukar untuk kekal lama dalam sesebuah organisasi apabila tiada laluan kenaikan pangkat yang jelas atau peluang latihan yang mencukupi.

Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, kebolehan meningkatkan kemahiran diri menjadi satu keperluan, bukan pilihan.

Apabila sesebuah organisasi gagal menyediakan ruang pembelajaran dan perkembangan, belia cenderung mencari persekitaran kerja yang lebih menyokong potensi mereka.

Keputusan ini sering disalah tafsir sebagai tidak setia, sedangkan hakikatnya mereka sedang berusaha membina masa depan yang lebih baik.

Aspek kebajikan pekerja juga memainkan peranan besar. Persekitaran kerja yang tidak kondusif, budaya kerja yang toksik, waktu kerja yang panjang serta tekanan berlebihan boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.

Kesedaran terhadap kepentingan kesihatan mental semakin meningkat dalam kalangan belia menyebabkan mereka lebih berani untuk meninggalkan pekerjaan yang menjejaskan kesejahteraan diri.

Dalam konteks ini, menukar pekerjaan bukanlah satu bentuk kegagalan, sebaliknya satu langkah untuk menjaga kebajikan dan keseimbangan hidup.

Namun malangnya, keputusan ini sering dinilai menggunakan takrif kejayaan yang lama dan sempit.

Sejak sekian lama, kejayaan sering ditakrifkan melalui pencapaian akademik yang cemerlang, pekerjaan yang dianggap 'baik', jawatan tinggi dan pendapatan besar. Takrif ini berulang dalam nasihat ibu bapa, sistem pendidikan dan paparan media.

Tanpa disedari, ramai belia membesar dengan satu mesej jelas, jika tidak mengikut laluan ini, mereka dianggap belum berjaya.

Apabila belia sering menukar pekerjaan, mereka mudah dilabel sebagai tidak stabil atau gagal merancang masa depan.

Penilaian ini tidak mengambil kira realiti bahawa setiap individu bermula dari latar belakang yang berbeza.

Tidak semua belia mempunyai sokongan keluarga yang kukuh, akses kepada pendidikan berkualiti atau jaringan profesional yang luas.

Ada belia yang terpaksa bekerja sambil belajar, ada yang perlu menerima pekerjaan di luar bidang pengajian demi menyara kehidupan.

Dalam situasi ini, pertukaran pekerjaan merupakan sebahagian daripada usaha mencari kestabilan dan hala tuju yang lebih sesuai.

Pada masa yang sama, sistem pendidikan juga banyak mempengaruhi cara masyarakat menilai nilai seseorang.

Keputusan peperiksaan sering dijadikan penanda aras utama, seolah-olah ia mencerminkan keseluruhan potensi individu. Sedangkan dunia sebenar memerlukan lebih daripada sekadar gred.

Kemahiran berfikir secara kritis, kebolehan menyesuaikan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan menyelesaikan masalah semakin penting dalam dunia pekerjaan moden.

Malangnya, tidak semua kebolehan ini dapat diukur melalui peperiksaan atau tempoh perkhidmatan yang panjang dalam satu organisasi.

Kini, semakin ramai belia memilih untuk bekerja dalam ekonomi gig, membina perniagaan kecil atau meneroka kerjaya baharu yang tidak wujud satu dekad lalu.

Kejayaan tidak lagi semestinya bermaksud kekal dalam satu pekerjaan sepanjang hayat. Bagi sesetengah individu, kejayaan bermakna kebebasan memilih laluan sendiri, keseimbangan hidup dan kesihatan mental yang terjaga.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna pertukaran pekerjaan tanpa kawalan harus dianggap perkara biasa. Belia juga perlu bijak dalam membuat keputusan.

Pertukaran kerja yang terlalu kerap tanpa matlamat yang jelas boleh menjejaskan kebolehpasaran jangka panjang dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan majikan.

Oleh itu, setiap keputusan menukar pekerjaan perlu disertai perancangan, penilaian kendiri dan usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran.

Menukar pekerjaan seharusnya menjadi langkah strategik, bukan reaksi terhadap tekanan semata-mata.

Dalam masa yang sama, majikan dan pembuat dasar turut mempunyai tanggungjawab besar. Penyediaan gaji yang adil, kebajikan pekerja yang terjaga, persekitaran kerja yang sihat serta peluang pembangunan kerjaya yang jelas mampu meningkatkan kesetiaan pekerja muda.

Hakikatnya, belia bukan menolak komitmen, sebaliknya mereka menuntut keadilan, fleksibiliti dan makna dalam pekerjaan.

Kesimpulannya, fenomena golongan belia yang sering menukar pekerjaan perlu dilihat secara lebih adil dan berempati.

Ia bukan sekadar isu sikap individu, tetapi cerminan perubahan struktur ekonomi, sosial dan dunia pekerjaan.

Dalam dunia yang semakin mencabar, sudah tiba masanya masyarakat menilai semula takrif kejayaan dan memahami realiti sebenar yang dihadapi oleh generasi muda hari ini.

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Farini Maisyarah binti Mohd Azaib

2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (UMT), Dr.Jaharudin Padli

Ringkasan AI

  • Golongan belia sering menukar pekerjaan seiring dengan realiti ekonomi dan sosial yang mencabar
  • Landskap pekerjaan telah berubah dengan perkembangan teknologi dan ekonomi digital
  • Faktor utama perubahan kerjaya termasuk isu gaji, kos sara hidup, dan peluang pembangunan kerjaya
  • Pertukaran kerja sering bersifat strategik sebagai usaha mencapai kestabilan kewangan dan meningkatkan kemahiran
  • Fenomena ini mencerminkan perubahan struktur ekonomi dan dunia pekerjaan, bukan sekadar sikap individu
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp