Mahasiswa BSPP didedahkan dengan teknik penuaian tandan buah kelapa sawit.
Kredit foto: Utusan
Mahasiswa BSPP didedahkan dengan teknik penuaian tandan buah kelapa sawit. Kredit foto: Utusan

Kekosongan sektor perladangan boleh diisi dengan graduan dari BSPP UPM

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
03 May 2023 05:19pm

Isu penggunaan tenaga dalam sektor pertanian negara bukan lagi satu perkara baharu sejak berlakunya pandemik Covid-19.

Malah negara turut melaporkan keperluan lebih 180,000 tenaga kerja asing bagi memenuhi permintaan sektor berkenaan dan perkara itu telah dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.

Namun menurut Foong Hin, pengambilan pekerja asing hanya sebagai penyelesaian jangka pendek disebabkan dalam tempoh jangka panjang kerajaan mahu sektor itu dikuasai oleh orang muda.

Bercakap tentang isu berkenaan, Pengerusi Semakan Semula Struktur Kurikulum Sains Pengurusan Perladangan (BSPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr K.S Daljit Singh memaklumkan, kebergantungan tinggi pekerja asing kurang mahir boleh diatasi dengan lulusan BSPP.

Ujarnya, mereka kini dalam usaha untuk menyemak semula program tersebut supaya sejajar dengan perkembangan semasa termasuklah menerapkan elemen seperti keselamatan dan kesihatan pekerja.

“Kami ingin melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja berpengetahuan mengira jumlah tanaman tetapi mampu mengajar pekerja-pekerja ladang mengenai kesihatan pokok, kesuburan tanah serta keperluan nutrien tanaman.

“Ini juga dilihat seiring dengan misi UPM dalam melahirkan eksekutif perladangan yang mahir meliputi aspek pengurusan pengoperasian di samping mampu menguruskan sumber manusia.

“Untuk pengetahuan juga, BSPP sudah ditawarkan kepada mahasiswa kohort pertama sesi akademik 2015/2016 dan sehingga kini sudah empat kohort secara keseluruhannya dengan hampir kesemua graduan sudah mendapat tawaran kerja selepas tamat semester akhir mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Daljit Singh lagi, mahasiswa yang mengikuti kursus itu dipilih berdasarkan pencapaian akademik cemerlang serta kebolehan daya tahan dari sudut mental dan fizikal.

Ini kerana mereka bukan hanya sekadar duduk di pejabat tetapi perlu turun padang memantau keadaan ladang dan pekerja.

Jelas beliau, program BSPP ini dibentuk hasil perbincangan dan pandangan pelbagai pihak industri supaya semua elemen dapat dimasukkan di dalam silibus pembelajaran terutamanya pengurusan dan pengoperasian ladang serta hal-hal yang berkaitan Roundtable Sustainable Palm Oil (RSPO) dan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp