Kisah Sang Kancil jadi teladan buat pelajar masa kini
Tidak salah sekiranya menjadikan kisah dongeng sebagai pemangkin kepada anak-anak muda khasnya pelajar yang masih tercari-cari laluan masa depan.
Itu adalah pengisian yang ditujukan khas buat para pelajar agar menjadikan kisah Sang Kancil yang tidak pernah berputus asa dalam kehidupan.
Alumni UniKL MIIT, Ahmad Razuri Roseli merupakan pengarah filem animasi Dongeng Sang Kancil yang sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara, berkongsi perjalanan dan cabaran dalam menghasilkan filem ini.
"Proses kreatif ini melibatkan banyak pihak. Bagi saya, sangat penting untuk tidak berputus asa di tengah jalan walau berdepan pelbagai rintangan," katanya sejurus tamat tayangan di sebuah pawagam di Kuala Lumpur pada Khamis.
Beliau juga memberi motivasi kepada pelajar dan graduan UniKL MIIT untuk terus mengejar impian mereka, mengambil inspirasi dari kisah Sang Kancil yang tidak pernah berputus asa.
Presiden UniKL, Profesor Ir Dr Azman Senin menyatakan rasa bangga dengan kejayaan alumni UniKL MIIT dalam menghasilkan filem animasi yang berkualiti tinggi ini.
Beliau menekankan pentingnya bagi institusi pengajian tinggi untuk terus melahirkan graduan yang mampu memberi sumbangan besar kepada industri kreatif negara.
"Kejayaan ini adalah bukti bahawa UniKL MIIT sentiasa berusaha untuk memastikan graduannya dilatih dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk bersaing di peringkat global," katanya.
Sementara itu, Dekan UniKL MIIT, Profesor Madya Ts Dr Mohd Nizam Husen berkata, selain menghiburkan, filem animasi berjudul Dongeng Sang Kancil yang ditayang sejak beberapa minggu lalu, memberi impak mendalam kepada masyarakat.
"Tahniah saya ucapkan kepada pengarah dan semua yang terlibat dalam penghasilan filem animasi ini. Ia membawa mesej yang baik dan membantu anak-anak muda untuk menjadi manusia berguna," katanya.
Pengarah Urusan Les Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi mengambil peluang berkongsi penghargaan kepada UniKL MIIT dan pihak yang menjayakan tayangan khas itu.
Katanya, filem animasi ini gambaran semangat juang semua yang terlibat membawa kisah budaya dan pendidikan kepada masyarakat, selain berharap kerjasama berkenaan diteruskan dari semasa ke semasa.
Untuk rekod, filem yang mengangkat kisah klasik Sang Kancil ini mendapat sambutan luar biasa daripada penonton yang hadir, terutama pelajar dan alumni UniKL yang berbangga dengan pencapaian Ahmad Razuri dalam industri animasi tempatan.
Tayangan ini menghidupkan kembali kisah Sang Kancil yang penuh pengajaran, dengan visual animasi yang memukau dan naratif yang penuh nilai moral.
Ia bukan sahaja merupakan platform untuk memperkenalkan Dongeng Sang Kancil kepada khalayak tetapi sebagai satu usaha memperkenalkan kejayaan alumni UniKL MIIT kepada industri kreatif, sekali gus memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus berusaha dan mengejar impian dalam bidang animasi.
Ia gambaran betapa pentingnya kolaborasi antara institusi pendidikan, penggiat industri, dan graduan yang berbakat dalam membentuk masa depan yang lebih cerah untuk industri animasi Malaysia.