Suasana sebak dan hiba menyelubungi diri waris dan ahli keluarga mangsa kemalangan.
Suasana sebak dan hiba menyelubungi diri waris dan ahli keluarga mangsa kemalangan.

‘Kita akan beri bantuan sewajarnya kepada semua keluarga mangsa’ - Zambry

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
10 Oct 2024 01:27pm
A
A
A

"Pihak universiti dan KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) melalui Yayasan Perkasa Siswa akan memberi bantuan sewajarnya kepada semua keluarga Almarhum pelajar UiTM (Universiti Teknologi Mara) Dungun yang terlibat kemalangan. Semoga segala urusan dipermudahkan."

Tulis Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi Facebooknya pada Khamis.

Hantaran yang dimuat naik sekitar tengah hari, hari ini di buat susulan kematian tiga pelajar UiTM Kampus Dungun, Terengganu yang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai Sura, Kuala Terengganu, Terengganu, malam tadi.

Beliau ialah Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, 20; Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Allahyarham Mohd Akmal Tukirin, 25 manakala yang cedera parah ialah Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20.

Untuk rekod, Yayasan Perkasa Siswa merupakan salah satu agensi di bawah KPT yang berfungsi mengurus dan menyelaras hal ehwal pemerkasaan merangkumi program dan aktiviti pembangunan pelajar kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa di Malaysia.

Selain memainkan peranan sebagai key player dalam konteks program dan aktiviti anjuran mahasiswa, yayasan itu juga bertindak sebagai medium talian hayat bagi merealisasikan objektif program yang menjana kepada pemerkasaan lebih 1.2 juta mahasiswa berdaftar di bawah KPT.

Antara objektif utama penubuhan Yayasan Perkasa Siswa adalah menyatukan semua urusan berkaitan pemerkasaan, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa di peringkat nasional menerusi satu badan khusus.

Dalam masa sama, ia juga mengurus dan menyelaras inisiatif pemerkasaan serta aktiviti berunsur kebajikan dan kesejahteraan daripada kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya secara lebih teratur.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok