
Konvokesyen UiTM ke-101: 26,696 graduan ukir sejarah gemilang!
Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) kembali mewarnai pentas pendidikan dengan penuh gemilang.
Saat yang dinanti-nantikan ini bukan sekadar acara gilang-gemilang, tetapi simbol kejayaan dan pencapaian cemerlang setiap graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing.
Dengan penuh rasa bangga, graduan, ibu bapa dan para pensyarah bersatu dalam detik penuh makna ini, meraikan titik akhir sebuah perjalanan ilmu yang penuh cabaran dan pengorbanan.
Seramai 26,696 graduan diraikan dalam Istiadat Konvokesyen ke-101 yang berlangsung penuh istiadat di Dewan Agung Tuanku Canselor, Kampus Induk Shah Alam, Selangor.
Istiadat berkenaan bukan sahaja meraikan kejayaan akademik, malah memperkukuhkan peranan UiTM dalam pembinaan negara bangsa melalui pengiktirafan nasional serta penerimaan geran pembangunan teknologi tinggi oleh kerajaan.
Lebih mengagumkan, istiadat kali ini menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada arkitek, Hijjas Kasturi.
Beliau juga merupakan tokoh tersohor dalam bidang seni bina negara.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, penghargaan berkenaan diberi atas jasa besar Hijjas yang merupakan pengasas 'School of Applied Arts' di Institusi Teknologi Mara pada tahun 1967.
"Beliau merupakan antara penggerak awal pendidikan seni bina di negara ini dan dianggap sebagai bapa seni bina moden Malaysia yang banyak menzahirkan jiwa Melayu dalam setiap reka bentuknya," katanya.