
KPT dukacita pemergian pelajar UUM akibat kemalangan dalam kampus
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan dukacita dengan pemergian pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Manarina Hasya Muhamad Karim, 22 yang terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah bas di perhentian Jalan Persiaran Perdana, UUM, pada Sabtu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham selain mendoakan agar mereka diberikan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini.
"Semoga roh Almarhumah ditempatkan dalam kalangan hamba ALLAH yang beriman dan beramal soleh," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Sementara itu, KPT dimaklumkan bahawa siasatan lanjut berkaitan insiden itu sedang dijalankan dan laporan penuh akan dimaklumkan kemudian.
"Pihak UUM juga sudah mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu keluarga Almarhumah," kata Zambry.