Zambry (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU Pertukaran Rekod Perubatan antara PPUM dan SASMEC.
Zambry (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU Pertukaran Rekod Perubatan antara PPUM dan SASMEC.

KPT rancang perluas sistem digital PPUM ke hospital pengajar lain - Zambry

28 Oct 2025 10:55pm

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan model transformasi digital yang dibangunkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) diperluas ke semua hospital pengajar universiti di seluruh negara bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif itu membolehkan perkongsian data dan rekod pesakit dilakukan dengan lebih pantas serta selamat antara hospital pengajar, selain menyokong Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 dan agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara.

"PPUM telah membangunkan satu sistem integrasi data dikenali sebagai Total Hospital Information System yang melibatkan penggunaan aplikasi elektronik termasuk telefon pintar bagi memantau keadaan pesakit.

"Ini satu perkembangan menarik kerana sistem bersepadu itu membolehkan perkongsian data antara universiti dan saya berharap ia dapat digunakan secara meluas serta ditambah baik mengikut keperluan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Pertukaran Rekod Perubatan antara PPUM dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC). 

Pada majlis itu, PPUM dan SASMEC diwakili oleh Pengarah masing-masing, Profesor Dr Nazirah Hasnan dan Profesor Datuk Dr Mohamed Saufi Awang.

Melalui sistem integrasi data itu, PPUM memperkenalkan dua inovasi utama iaitu aplikasi mudah alih Patient Journey dan Virtual Ward yang membolehkan pesakit mengurus perjalanan rawatan mereka serta menerima penjagaan kesihatan dari rumah.

Selain itu, pemeteraian MoU antara PPUM dan SASMEC juga membuka laluan kepada pembangunan sistem pertukaran rekod perubatan elektronik yang selamat, pantas dan sistematik sekali gus memperkukuh kesinambungan rawatan antara hospital pengajar universiti di bawah KPT.

Artikel Berkaitan:

Zambry berkata, sistem yang dibangunkan PPUM turut memperkukuh jaringan perkongsian data kesihatan antara universiti dan boleh dijadikan model kepada pembangunan hospital pintar negara pada masa depan.

"Pendigitalan sektor kesihatan bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan keselamatan pesakit, malah membentuk asas kepada budaya penyelidikan dan pembelajaran berasaskan data yang mampan," katanya.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 11 hospital pengajar universiti di seluruh negara dan KPT akan menggalakkan semua institusi berkenaan bekerjasama memperluas penggunaan sistem tersebut. - Bernama 

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan model transformasi digital PPUM diperluas ke semua hospital pengajar universiti untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan
  • PPUM mengembangkan sistem integrasi data Total Hospital Information System yang memungkinkan perkongsian data pesakit dengan selamat dan pantas
  • Inisiatif ini menyokong Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 dan agenda pendigitalan pendidikan tinggi
  • PPUM memperkenalkan dua inovasi utama iaitu aplikasi mudah alih Patient Journey dan Virtual Ward untuk memudahkan pengurusan perjalanan rawatan dan penjagaan kesihatan dari rumah
  • Pemeteraian MoU antara PPUM dan SASMEC membuka laluan kepada pembangunan sistem pertukaran rekod perubatan elektronik yang selamat dan memperkuat kesinambungan rawatan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp