Fahmi (tengah) bersama pelajar selepas menyampaikan ucaptama dalam Forum Menyingkap Dinamika Kebebasan Media di Era Digital yang berlangsung di UUM pada Selasa.
Fahmi (tengah) bersama pelajar selepas menyampaikan ucaptama dalam Forum Menyingkap Dinamika Kebebasan Media di Era Digital yang berlangsung di UUM pada Selasa.

Lebih 13,000 unit WiFi dipasang di kampus UA seluruh negara

12 Jun 2025 12:47pm

Kerajaan meneruskan komitmennya dalam memastikan akses internet berkualiti di institusi pengajian tinggi (IPT) apabila sebanyak 13,470 unit WiFi telah dipasang di kampus Universiti Awam (UA) di seluruh negara setakat ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemasangan WiFi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kesalinghubungan kampus, dengan sasaran 32,000 unit yang dirancang.

Beliau berkata, fasa kedua pemasangan dijangka selesai dalam tempoh lima hingga enam minggu akan datang sebelum perbincangan lanjut diadakan dengan pihak pengurusan universiti.

"Selepas fasa kedua selesai, kita akan menilai pelaksanaan fasa pertama dan kedua serta mengenal pasti penambahbaikan yang perlu dilakukan di kampus masing-masing.

"Jika ada keperluan tambahan, ia akan dimasukkan dalam fasa ketiga agar pelajar dapat menikmati akses internet yang lebih berkualiti," katanya dalam satu sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Forum Menyingkap Dinamika Kebebasan Media di Era Digital yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Selain UA, projek WiFi ini turut melibatkan politeknik dan kolej komuniti, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperluaskan kesalinghubungan digital di institusi pendidikan.

Menurutnya, fasa ketiga projek ini dijangka dimulakan pada tahun ini, dengan proses tender akan dilakukan selepas pengesahan lokasi dan keperluan universiti terlibat.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM668 juta bagi meningkatkan akses WiFi di 23 UA dengan menambah lebih banyak titik akses internet.

*WARTAWAN: WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp