
Lebih 3,000 pelajar UiTM Sabah terima manfaat Dapur HEP
Lebih 3,000 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah Kampus Kota Kinabalu, menerima manfaat inisiatif Dapur Hal Ehwal Pelajar (Dapur HEP) yang menyediakan makanan percuma setiap hari kepada penuntut memerlukan.
Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, program kebajikan itu bertujuan meringankan beban kos sara hidup pelajar terutama daripada golongan B40, selain membentuk budaya saling membantu antara warga universiti.
"Saya sempat singgah di Dapur HEP UiTM Sabah Kampus Kota Kinabalu, mereka menyediakan kira-kira 60 kilogram beras untuk dimasak setiap hari dan diagihkan kepada lebih 3,000 pelajar.
"Semua persediaan memasak dan membungkus makanan dilakukan sepenuhnya oleh pelajar dan petugas universiti yang biasanya di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP)," katanya.
Zambry berkata, pelaksanaan program itu mendapat sokongan daripada petugas universiti, alumni, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, pihak korporat, dana universiti serta sumbangan pelajar.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada UiTM dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain, yang melaksanakan inisiatif serupa dan menggesa program itu diperluaskan agar tiada pelajar belajar dalam keadaan lapar.
"Kita tidak boleh membiarkan pelajar berdepan kesukaran sehingga tidak mampu makan, apatah lagi jika ia mengganggu tumpuan mereka dalam pengajian," katanya. - Bernama