
Lima pelajar bakal sertai Program Perantisan MARA-OISCA di Jepun
Lima pelajar bakal menyertai Program Perantisan MARA-OISCA di Jepun pada bulan hadapan selepas berjaya menamatkan dua kursus selama dua dan enam bulan.
Mereka ialah Alif Haiman Mohd Norhasni (IKM Lumut); Muhammad Ariff Nazmi Ruziham (KKTM Sri Gading); Amir Hamzah Nazarudin (IKM Johor Bahru); Muhammad Shahid Norasmadi (IKM Johor Bahru) dan Khairulanwar Idris (UniKL MIIT).
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara, Dr Mahzan Teh berkata, pelajar berkenaan merupakan lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang telah berjaya menamatkan Kursus Asas Bahasa Jepun dan Kursus Persediaan di Pusat Bahasa Jepun MARA-OISCA, MJII Beranang.

“Mereka ini pelajar daripada pelbagai bidang antaranya Diploma Teknologi Kejuruteraan Gas, Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembinaan (Bangunan Hijau), Diploma Kejuruteraan Penyamanan Udara dan Penyejukan serta Ijazah Kejuruteraan Perisian.
“Semoga latihan yang bakal dijalankan ini membolehkan pelajar TVET MARA untuk mendapat pengalaman lebih luas di samping melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing,” katanya.

Tambah Mahzan, penempatan pelajar berkenaan untuk menjalani latihan industri adalah di syarikat ternama seperti Kakegawa Kucho Co. Ltd, Fuji Setsubi Co. Ltd, Mito Construction Co. Ltd, Nakamura Construction Co. Ltd, dan Yasashiite Inc.
“Pada masa yang sama, mereka juga berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi di negara luar dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara di masa akan datang,” katanya.