DR ANIL SANDHU
DR ANIL SANDHU

Mahasiswa ditegur tumpu pelajaran, bukan masanya berhimpun

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
31 Dec 2024 12:22pm

Golongan mahasiswa dinasihatkan supaya menumpukan perhatian kepada pelajaran ketika ini dan bukannya menyertai perhimpunan.

Teguran itu sebagai mengingati tindakan cubaan untuk mengadakan perhimpunan aman di hadapan Menara Kinabalu, Sabah hari ini yang turut dibimbangi boleh mencetuskan provokasi dan seterusnya mengugat keharmonian negeri.

Exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, tidak kira siapapun penganjurnya diharap perhimpunan itu tidak diadakan kerana dibimbangi mengugat keharmonian di negeri ini.

"Saya telah menerima maklumat tentang cadangan untuk mengadakan perhimpunan di Kota Kinabalu pada 31 Disember ini. Golongan mahasiswa dinasihatkan supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.

"Ini adalah masa untuk membina ilmu, bukan terlibat dalam urusan pentadbiran negeri atau politik.

"Insya-ALLAH, apabila tiba masanya, selepas mencapai kematangan dan memiliki kerjaya yang kukuh, barulah anda boleh menyumbang dalam arena politik dengan lebih bermakna," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu bagi mengulas sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggelarkan diri sebagai Suara Mahasiswa UMS merancang penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah pada 31 Disember ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa terutama pasukan polis, agar mengambil langkah tegas menilai risiko yang mungkin timbul dan sedaya upaya menghalang perhimpunan seperti ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu budaya ini menjadi ikutan yang boleh menggugat keharmonian negeri tercinta kita.

"Marilah kita bersama-sama menjaga keamanan Sabah demi masa depan yang lebih baik," katanya.

Difahamkan, selain Suara Mahasiswa UMS, terdapat satu lagi himpunan tular di media sosial dan dianjurkan pihak berlainan dikenali sebagai Himpunan Aman Bangkit Sabahan yang diadakan pada hari yang sama sekitar jam 2 petang di hadapan Menara Kinabalu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp