Mahasiswa Malaysia menyumbang ke arah matlamat pembangunan lestari
Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan melangkah setapak ke hadapan dengan penganjuran program Global Volunteer Mission to North Sumatra, yang menggabungkan semangat kesukarelawan dengan usaha merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals - SDGs).
Program ini membuka peluang kepada mahasiswa untuk bukan sahaja menyumbang kepada komuniti global tetapi memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan sejagat.
Sepanjang lapan hari tujuh malam, para peserta telah menyertai pelbagai aktiviti yang memberi fokus kepada beberapa SDG utama. Antaranya, SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) melalui program Start Awareness From Early (SAFE) for Children yang memberi kesedaran kepada kanak-kanak tentang penjagaan diri dan langkah pencegahan penderaan.
Aktiviti di Yayasan An-Nur Bahri juga melibatkan kempen penjagaan kebersihan diri yang bertujuan membina komuniti yang sihat dan selamat.
Selain itu, lawatan dan aktiviti di Kidz Smile Therapy Centre menyokong SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dengan memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dengan kanak-kanak istimewa sambil melaksanakan aktiviti kreatif yang meningkatkan daya kreativiti dan keyakinan mereka.
Mural yang dilukis di Yayasan An-Nur Bahri pula mencerminkan nilai SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari) dengan mewujudkan persekitaran yang lebih ceria dan kondusif.
Sesi SDG Talks bersama Badan Eksekutif Mahasiswa Universitas Sumatera Utara (USU) turut diadakan bagi membincangkan peranan belia dalam menyokong agenda pembangunan lestari di peringkat global.
Pengarah projek, Muhamad Haikal Hanafi berkata, diskusi ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia, tetapi juga menggalakkan peserta untuk berfikir secara kritikal dan bertindak ke arah merealisasikan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).
“Melalui misi ini, kami bukan sahaja memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa tetapi menyemai kefahaman mendalam tentang bagaimana setiap tindakan kecil dapat menyumbang kepada agenda SDG global.
"Ini adalah langkah penting ke arah melahirkan generasi pemimpin yang bertanggungjawab," katanya.
Program ini juga melibatkan lawatan ke Konsulat Malaysia di Medan, yang menyokong SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh).
Lawatan itu memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang peranan diplomasi dalam mewujudkan hubungan antarabangsa yang harmoni.
Sementara itu, penasihat kelab, Khairolizwan Harry menjelaskan misi kesukarelawan ini adalah platform untuk membentuk mahasiswa yang peka terhadap isu-isu global dan memiliki semangat juang untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti antarabangsa.
"Setiap pengalaman dalam program ini mengukuhkan nilai kepemimpinan dan empati dalam diri mahasiswa, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menjadi agen perubahan.
"Kesukarelawan di luar negara adalah peluang untuk memberi impak besar kepada komuniti global, selari dengan usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari. Kami berharap program ini menjadi inspirasi kepada semua," kata Haikal.
Dengan misi yang memberi fokus kepada kesejahteraan komuniti, pendidikan dan kerjasama global, program ini menjadi bukti bahawa mahasiswa Malaysia bukan hanya pelajar tetapi pemimpin masa depan yang komited dalam menjadikan dunia tempat yang lebih baik untuk semua.
Maklumat Penulis:
Timbalan Pengarah Program Global Volunteer Mission to North Sumatra, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban, Mohamad Aiman Hakim Mohamad Nizam
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my