Mahasiswa UiTM sertai Batik Fun Walk 2024, tanda sokongan warisan seni dan budaya Malaysia
Seramai 25 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor menyertai program Batik Fun Walk 2024 di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada Ahad.
Penglibatan mereka sebagai mewakili Kelab Penyayang UiTM yang sentiasa menunjukkan komitmen dalam apa jua program berkaitan warisan batik negara.
Pengarah Program, Muhammad Adam Abdullah berkata, penyertaan penuntut di Batik Fun Walk 2024 bukan sekadar aktiviti riadah sahaja tetapi ia merupakan platform strategik memupuk kesedaran dan kecintaan terhadap warisan budaya dalam kalangan mahasiswa.
"Program ini menggabungkan elemen kesihatan dan kebudayaan. Ia bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga memperkenalkan batik sebagai pakaian harian yang praktikal dan bergaya kepada generasi muda," katanya.
Penaung Kelab Penyayang UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi pula berkata, penyertaan berterusan mereka dalam program seperti ini membuktikan komitmen universiti bagi memastikan warisan budaya negara terus relevan dalam kalangan generasi baharu.
"Selain itu, ia juga memperkukuhkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa kami," ujarnya selaku Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar UiTM.
Terdahulu, Batik Fun Walk 2024 anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) dilaksanakan sejajar dengan aspirasi ‘Batik Malaysia, Crafted for the World’.
Ia telah mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan telah melibatkan perjalanan para peserta sejauh 2.3 kilometer merentasi jalan-jalan utama di tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Untuk info, penglibatan Kelab Penyayang UiTM dalam Batik Fun Walk 2024 bagi lima tahun berturut-turut, juga menfokuskan sumbangan kepada aspek kebajikan di mana sebahagian hasil kutipan yuran penyertaan disalurkan kepada Penyayang Pesakit Kanser (PPK) melalui Yayasan Budi Penyayang Malaysia.
Ia bertujuan membantu pesakit kanser melalui Pusat Positive Image.
Dalam perkembangan lain, Kelab Penyayang UiTM yang sentiasa menjalankan aktiviti kebajikan dan kesukarelawan dalam dan luar negara, telah memilih Bengkel Daya Klang (BDK), Selangor sebagai institusi kebajikan baharu untuk meneruskan misi mereka.
Ini selaras dengan objektif utama penubuhan Kelab Penyayang di setiap universiti awam (UA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk melantik rumah kebajikan angkat bagi menjalankan program kesukarelawanan secara berterusan dan konsisten.