Ain Nabihah ketika menyampaikan ucapan selepas diumumkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor UPM 2025 baru-baru ini.
Ain Nabihah ketika menyampaikan ucapan selepas diumumkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor UPM 2025 baru-baru ini.

'Mak ayah, anugerah ini untuk kalian' - Penghargaan Ain Nabihah buat insan tersayang

15 Aug 2025 11:15am

Saat namanya diumumkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) Universiti Putra Malaysia (UPM) 2025, Ain Nabihah Mohd Padaliah melangkah ke pentas dengan langkah tenang sekali gus hati yang sarat dengan rasa syukur.

Di hadapan tetamu kehormat, rakan-rakan dan para pensyarah, senyumnya jelas terukir tetapi di benaknya hanya satu perkara yang bermain iaitu anugerah ini adalah hadiah buat dua insan paling istimewa dalam hidupnya iaitu ibu serta bapa tercinta.

"Saya percaya kejayaan ini bukan sekadar hasil usaha sendiri tetapi juga berkat doa dan sokongan ibu bapa yang tidak pernah putus.

"Merekalah yang sentiasa menjadi tunjang kekuatan saya untuk terus seimbang dalam pelajaran dan aktiviti pelajar," katanya ketika berucap dalam majlis yang berlangsung di Hotel Resort Bangi Selangor.

Anugerah berprestij ini yang dahulunya dikenali sebagai Anugerah Putra Ikon, merupakan pengiktirafan tertinggi universiti kepada pelajar cemerlang holistik.

Ia bukan sekadar menilai kecemerlangan akademik, malah mengambil kira sahsiah, kepimpinan, penglibatan aktif dalam kokurikulum dan sumbangan kepada komuniti sepanjang pengajian.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Sepanjang berada di UPM, Ain Nabihah membuktikan bahawa kecemerlangan boleh dicapai seiring dengan komitmen terhadap pembangunan diri.

Beliau aktif memimpin dan menyertai pelbagai program universiti di samping mengekalkan prestasi akademik yang cemerlang.

"Kokurikulum banyak membantu saya mengasah kemahiran kepimpinan dan komunikasi.

"Walaupun sibuk dengan tugasan akademik, saya tetap memilih untuk terlibat dalam pelbagai program universiti kerana percaya pengalaman seperti ini membentuk sahsiah dan keyakinan diri," jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr Ir Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, Anugerah Naib Canselor UPM merupakan pengiktirafan tertinggi universiti kepada mahasiswa yang menyerlah dalam semua dimensi pembangunan diri.

"Anugerah ini meraikan mahasiswa berkarakter, berprinsip dan berdaya saing. Insan terdidik bukan sahaja bijak, tetapi mampu membawa nilai ilmu kepada masyarakat," ujarnya.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp