'Mak cik cleaner' UPSI teruja dapat tunai umrah. 'Saya sebak dapat gembirakan hati Kak Siah' - Naib Canselor
"Sebak saya dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) melihat keterujaan Kak Siah untuk mengerjakan umrah buat pertama kali.
"Alhamdulillah, kami sebak dan bangga dapat menggembirakan hati seorang 'mak cik cleaner' dan staf B40 UPSI,” tulis Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff di Facebooknya pada Selasa.
Menurut Md Amin, Kak Siah antara 10 warga UPSI B40 yang terpilih menyertai ibadah umrah tajaan Yayasan Rafulin.
"Kak Siah ialah 'mak cik cleaner' OKU pendengaran dan lisan.
"Saya mula mengenali Kak Siah ketika bergelar tutor lagi.
"Beliau berasal dari Tanjong Malim dan sentiasa berkhidmat dengan rajin,” maklumnya di laman sosial itu.
Di Facebook sama, Md Amin menitipkan pesanan kepada anak-anak didiknya dan warga UPSI yang lain untuk terus meraikan sesiapa sahaja tanpa memandang status atau keadaan seseorang.
"Walau siapa kita hari ini, jangan dilupa siapa kita semalam.
"Jangan terlalu memandang pangkat harta, sedangkan yang biasa-biasalah yang selalu membantu kita.
"Di UPSI, pangkat dan darjat adalah setara. Walau apa pun jawatan dan karier kita, tetap diraikan sehabis mulia,” tulisnya lagi sambil mendoakan 10 kakitangan UPSI yang terlibat mendapat umrah yang mabrur.