Meraikan graduan, mengimbau tiga dekad perjuangan akademik
Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26 meraikan seramai 4,493 graduan yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma sepanjang ia berlangsung.
Lebih istimewa, konvokesyen pada tahun ini juga bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 UMS.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, konvokesyen ini merangkumi 119 penerima PhD, 335 ijazah Sarjana, 124 Diploma Pascasiswazah, 3,862 penerima Ijazah Sarjana Muda dan 53 penerima Diploma.
"Daripada semua graduan berkenaan, seramai 426 graduan memperoleh ijazah kelas pertama.
"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan, ibu bapa dan ahli keluarga serta kawan-kawan yang memberi sokongan kepada perjalanan ini,” katanya.
Kasim turut memaklumkan, sejak penubuhan UMS selama tiga dekad, UMS telah melahirkan seramai 91,915 graduan dari pelbagai bidang yang kini menjadi modal insan, kompeten dan berkaliber tinggi yang menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat, nasional dan antarabangsa.
"Ini adalah bukti bahawa pendidikan yang disediakan oleh UMS bukan sahaja berorientasikan akademik tetapi juga membina kemahiran insaniah yang penting dalam kehidupan seharian.
"Bilangan graduan UMS ini juga merupakan kejayaan universiti dalam menghasilkan modal insan kepada pelbagai sektor pekerjaan di peringkat negeri dan negara,” katanya.
Beliau juga menekankan peningkatan konsisten universiti dalam kadar kebolehpasaran graduan dengan 98.5 peratus graduan memperoleh pekerjaan pada tahun 2023 merupakan suatu peningkatan daripada 98.3 peratus pada 2022 dan 96.2 peratus pada 2021.
"Rentetan dari kejayaan itu juga UMS telah menerima anugerah Top Pulic Higher Education Institution pada majlis Talentbank Graduates' Choice Award (GCA) 27 November lalu serta Anugerah Oustanding Huawei ICT Academy di majlis Huawei ICT Competition Awards pada 3 Disember.
"Kejayaan ini bukan hanya terbatas di peringkat tempatan atau kebangsaan malahan UMS semakin dikenali di persada dunia.
"Berdasarkan laporan QS World University Ranking 2024, UMS kini berada dalam kelompok 250 universiti terbaik dunia (Asia)," ujar Kasim.