Sebahagian pelajar Malaysia yang terlibat dalam MyNight'25 iaitu pementasan teater asli berdurasi dua jam yang digarap sepenuhnya oleh mereka.
Sebahagian pelajar Malaysia yang terlibat dalam MyNight'25 iaitu pementasan teater asli berdurasi dua jam yang digarap sepenuhnya oleh mereka.

MyNight'25: Angkat warisan dan perpaduan pelajar Malaysia di AS

10 Apr 2025 02:10pm

Suasana penuh magis, sarat dengan semangat patriotisme dan kepelbagaian budaya Malaysia mewarnai malam istimewa Malaysian Night (MyNight’25) di Wisconsin Historical Society, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Acara tahunan yang dianjurkan Malaysia Students Association (MySA), University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat menghimpunkan lebih 150 hadirin termasuk pelajar Malaysia dari pelbagai negeri di Amerika Syarikat, pelajar antarabangsa serta komuniti tempatan dari Madison yang hadir untuk menyaksikan keunikan budaya negara.

Dengan tema 'Malam Berbisik, Dendam Bernyawa', MyNight'25 tampil dengan sebuah pementasan teater asli berdurasi dua jam yang digarap sepenuhnya oleh pelajar Malaysia.

Pementasan ini tidak hanya mempamerkan elemen seni semata-mata, malah membawa penonton menyelami kepelbagaian budaya negara melalui gabungan lakonan, muzik dan tarian tradisional seperti Tarian Buluh (Magunatip), Tarian Kipas dan Tarian India.

Pengarah MyNight’25, Nur Hidayah Rostam berkata, sejak awal perancangan, matlamat mereka adalah untuk menghimpunkan kepelbagaian budaya Malaysia dalam satu pementasan teater integratif.

No Image Caption

Dalam masa sama, menggalakkan penyertaan pelajar dari pelbagai latar belakang termasuk Sabah, Sarawak, komuniti India dan Cina yang sebelum ini kurang terlibat secara langsung.

"Sepanjang dua bulan latihan merangkumi Ramadan, sambutan Aidilfitri, kelas dan peperiksaan, kami bukan sahaja berjaya mencipta persembahan yang menyentuh jiwa, tetapi juga membina persahabatan, kepimpinan dan semangat kebersamaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya amat bangga MyNight’25 telah mencapai matlamatnya dan berharap semangat ini diteruskan pada masa akan datang," ujarnya.

Bagi Naib Presiden MySA (2025/2026), Mohamad Adham Darwish Abdul Rahim yang memainkan watak antagonis dan penari dalam persembahan MyNight’25 menyifatkan, penglibatan dia dalam program itu adalah pengalaman luar biasa.

"Sebagai pelajar Malaysia yang jauh dari tanah air dan keluarga, MyNight’25 menjadi ruang yang menyatukan kami semua.

No Image Caption

"Proses berlatih dan bekerjasama sepanjang pementasan ini menjadikan mereka bukan sekadar rakan, tetapi keluarga yang mengisi kekosongan berjauhan dari orang tersayang,” jelasnya.

Presiden MySA (2024/2025), Sharifah Aleeya Sophia turut memaklumkan, MyNight’25 sebagai bukti keutuhan semangat pelajar di luar negara.

"MyNight’25 bukan sekadar sebuah persembahan seni, tetapi lambang komitmen dan semangat pelajar di perantauan dalam memperkenalkan warisan budaya tanah air kepada masyarakat global.

"Sambutan hangat daripada komuniti antarabangsa membuktikan bahawa budaya kita bukan sahaja unik, tetapi juga mampu menyentuh hati pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya amat berbangga dengan dedikasi seluruh pasukan dan berharap agar semangat kebersamaan, kepimpinan dan cinta akan negara yang terjalin sepanjang penganjuran ini akan terus subur dalam kalangan generasi pelajar akan datang,” ujarnya.

No Image Caption

Secara keseluruhannya, MyNight’25 bukan sahaja mencipta kenangan manis bagi pelajar Malaysia di perantauan, tetapi juga menjadi satu platform yang berjaya mengangkat identiti budaya negara ke persada antarabangsa.

Dengan menggabungkan pelbagai elemen seni dan warisan Malaysia, acara ini telah memperkenalkan keindahan budaya negara kepada masyarakat global di University of Wisconsin-Madison.

Penganjuran MyNight’25 menegaskan bahawa walaupun berada jauh dari tanah air, semangat kebangsaan dan kecintaan terhadap budaya Malaysia tetap kukuh.

Diharapkan acara ini terus diteruskan pada masa hadapan bukan sahaja sebagai wadah untuk meraikan kekayaan budaya negara, tetapi juga sebagai medium untuk membentuk generasi pelajar yang berdaya saing, berfikiran global dan berjiwa patriotik.

No Image Caption



No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp