Megat Khashusaini Megat Abd Rahman, 85, (kanan) dan Nor Hanita Meor Mohd Nor, 62, (kiri) ialah datuk dan nenek Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand, menunjukkan potret keluarga ketika ditemui di kediaman mereka di Gunung Rapat, Perak pada Ahad.
Megat Khashusaini Megat Abd Rahman, 85, (kanan) dan Nor Hanita Meor Mohd Nor, 62, (kiri) ialah datuk dan nenek Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand, menunjukkan potret keluarga ketika ditemui di kediaman mereka di Gunung Rapat, Perak pada Ahad.

Nahas New Zealand: Telekung, kek kenangan terakhir Aqif

31 Mar 2024 08:56pm

"Arwah ada menghadiahkan saya sepersalinan telekung dan sebiji kek sempena hari jadi saya baru-baru ini, itu kenangan terakhir," demikian luahan ibu Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni.

Megat Ashman Aqif, 21, seorang daripada pelajar Malaysia yang menuntut di University of Canterbury terkorban dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand pada Sabtu.

Ibu Allahyarham, Noor Aishah Abdul Latif ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Melayu, Langkap, Teluk Intan berkata, dia baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada 12 Mac lepas, manakala Megat Ashman Aqif meraikan hari lahir pada 8 Mac.

"Arwah buat surprise hantar kek (menerusi perkhidmatan penghantaran Lalamove) sempena ulang tahun kelahiran saya.

"Saya ada bercakap tak perlulah Qif (nama timangan Megat Ashman Aqif) belikan telekung, patut simpan, duit banyak nak pakai tapi dia cakap tak apa ibu, Qif nak berkat ibu doakan untuk Qif," katanya.

Noor Aishah berkata, Allahyarham Megat Ashman Aqif bekerja sambilan di Christchurch.

"Semasa cuti semester, dia ada mengirimkan duit belanja dan kali terakhir kami berbual kira-kira sejam pada Selasa lepas menerusi panggilan video aplikasi WhatsApp.

"Allahyarham ada meminta doakan dia kerana akan menghadapi peperiksaan. Tiada apa-apa perubahan padanya, macam biasa sahaja berbual. Setiap minggu arwah akan buat panggilan video.

"Cuma menurut abang sulungnya, arwah ada menghantar mesej di WhatsApp baru-baru ini berbual-bual, kebiasaannya jarang sangat dia mesej abangnya," katanya.

Noor Aishah berkata, kali terakhir bertemu anaknya itu pada Julai tahun lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa menghantarnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perdagangan di New Zealand.

"Arwah ada beritahu nak pulang bercuti sempena Aidilfitri tapi saya kata tak perlulah (balik ke Malaysia) baru lagi pergi ke sana," katanya.

Noor Aishah berkata dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu kira-kira 11 pagi, Sabtu.

"Aqif anak yang baik, ALLAH pinjamkan saya selama 21 tahun, (meninggal dunia) dalam bulan Ramadan dia sedang berpuasa," katanya yang tidak dapat menahan sebak atas pemergian anak kedua dari lima beradik itu.

Anwar memuat naik ucapan takziah kepada keluarga Megat Ashman Aqif (kanan) dan Wan Nur Adlina Alisa.
Anwar memuat naik ucapan takziah kepada keluarga Megat Ashman Aqif (kanan) dan Wan Nur Adlina Alisa.

Takziah daripada PM

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand.

Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar turut mendoakan agar tiga lagi pelajar Malaysia yang cedera dalam insiden itu dikurniakan kesembuhan secepat mungkin.

"Kerajaan Malaysia menerusi Suruhanjaya Tinggi di New Zealand akan memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga," kata beliau.

Terdahulu, Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam satu kenyataan memaklumkan dua pelajar Malaysia maut dalam nahas jalan raya pada 1.45 tengah hari waktu tempatan.

Nahas berkenaan melibatkan lima penuntut Malaysia dan mangsa yang cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington mengesahkan pelajar yang meninggal dunia ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa, kedua-duanya merupakan penuntut University of Canterbury.

Mangsa yang cedera ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, juga penuntut Universiti of Canterbury, manakala Muhamad Faris Mohd Fairusham adalah penuntut Victoria University of Wellington.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp