Adnan (kanan) ketika menyerahkan surat lantikan sebagai Pengerusi MPM yang ke-15 kepada Md Amin (kiri) di Pejabat Naib Canselor UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI baru-baru ini.
Adnan (kanan) ketika menyerahkan surat lantikan sebagai Pengerusi MPM yang ke-15 kepada Md Amin (kiri) di Pejabat Naib Canselor UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI baru-baru ini.

Naib Canselor UPSI dilantik Pengerusi MPM ke-15. 'Terima kasih atas kepercayaan ini' - Md Amin

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
11 Apr 2025 08:30pm

"Alhamdulillah, saya dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diamanahkan untuk memikul satu lagi tanggungjawab besar negara sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

"Sesungguhnya pelantikan ini adalah satu penghormatan dan amanah yang menggunung buat UPSI tercinta.

"Doakanlah saya dapat melaksanakan amanah besar berkenaan dengan lancar. Terima kasih atas kepercayaan dan semoga kita semua terus cemerlang bersama, insya-ALLAH.

Tulis Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Ucapan kesyukuran itu dibuat sebagai tanda penghargaan dan rasa terima kasih beliau atas pelantikan tersebut berkuat kuasa 7 Mac 2025.

No Image Caption

Pelantikan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dimaklumkan melalui surat rasmi dari Istana Negara bertarikh 10 Mac lalu dan diterima pihak MPM pada 17 Mac menerusi Pejabat Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut kenyataan rasmi MPM, pelantikan Md Amin selaras dengan peruntukan di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980 [Akta 225], Seksyen 4(2) dan 4(3), dan akan berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2026 atau sehingga tamat tempoh beliau sebagai Naib Canselor universiti awam, yang mana-mana terdahulu.

Susulan pelantikan itu, Md Amin berkata, beberapa fokus utama akan diberi perhatian dalam menerajui MPM.

Antaranya adalah terus memastikan ketelusan, kredibiliti dan kebolehpercayaan sistem peperiksaan negara sejajar dengan aspirasi pendidikan Malaysia.

No Image Caption

Sementara itu, Ketua Eksekutif MPM, Adnan Husin menyifatkan pelantikan Naib Canselor UPSI sebagai satu langkah tepat yang akan membawa kepimpinan berwibawa dan visi segar kepada majlis itu.

Terdahulu, Pengerusi MPM ialah individu tertinggi yang mengetuai Lembaga Pengurusan MPM dan bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju, dasar dan pengawasan terhadap pelaksanaan sistem peperiksaan yang dikendalikan MPM seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Malaysian University English Test (MUET).

Sebagai pemimpin utama, Pengerusi berperanan penting dalam menjamin ketelusan, integriti dan kualiti sistem penilaian pendidikan tinggi negara, selain menjadi wakil rasmi dalam urusan strategik bersama kerajaan, institusi pendidikan dan agensi tempatan serta antarabangsa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp