Norasmah Tokoh TVET POLIMAS
"Alhamdulillah dan syukur dengan rezeki yang ALLAH berikan ini.” Inilah luahan kegembiraan Pensyarah Utama, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah, Norasmah Saad apabila dinobatkan Tokoh Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) POLIMAS sempena Hari Akademia POLIMAS 2022, baru-baru ini.
Tambah Norasmah, dia tidak menyangka akan dipilih dan seterusnya menerima anugerah yang begitu besar dan sangat bermakna.
“Sebagai pensyarah, saya hanya mahu melihat anak-anak didik berjaya dengan cemerlang dalam pengajian.
“Saya ikhlas mengajar mereka. Kerana itu, saya sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan para pelajar memperoleh segala ilmu bermanfaat untuk masa depan masing-masing,” ujarnya kepada Sinar Bestari.
Menyoroti latar belakang dan biodata Norasmah secara ringkas, beliau merupakan anak kelahiran Pendang, Kedah dan berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik kepujian dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Norasmah memulakan kerjaya sebagai Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, POLIMAS pada 1990 dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik, POLIMAS pada 2006.
Kerjaya wanita hebat ini semakin menyerlah apabila beliau dinaikan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat pada 2009 di Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah.
Dengan perkhidmatannya yang cemerlang, Norasmah sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kolej Komuniti Arau, Perlis pada 2016.
Sebagai Pengarah, banyak aktiviti TVET yang dilaksanakannya demi memperkenalkan kursus TVET di negeri itu.
Antaranya, Kolej Komuniti Arau di bawah kepimpinan beliau telah bekerjasama dengan kerajaan negeri Perlis mengadakan pelbagai aktiviti dan kursus berkaitan TVET bersama masyarakat serta membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
Setelah empat tahun berkhidmat sebagai Pengarah Kolej Komuniti Arau, Norasmah dinaikkan pangkat lagi sebagai Pensyarah Utama dan seterusnya ditukarkan ke POLIMAS serta menjawat jawatan Pengurus Pusat Korporat, Perkhidmatan Industri dan Kebolehpasaran (Cisec) sehingga kini.
Dalam pada itu, Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud berkata, penganjuran Hari Akademia POLIMAS 2022 bertujuan memberi penghargaan kepada ahli akademik dan warga politeknik itu yang cemerlang dalam bidang masing-masing.
Antara penghargaan yang telah diberikan adalah
1) Anugerah Akademia Sukarelawan –Syahfitri Saidin dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik.
2) Anugerah Akademia Keusahawanan - Sarina Elias, Jabatan Kejuruteraan Awam.
3) Anugerah Ko-Kurikulum - Mohamed Jamil Senawi.
4) Anugerah Penyelidikan Inovasi - Norliza Ramli, Jabatan Kejuruteraan Awam.
5) Anugerah Akademia Penerbitan - Dr Syaiful Nizam Abdul Rahim, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.
6) Anugerah Akademia Sepanjang Hayat - Sufian Ahmad.
7) Anugerah Akademia Inovasi - Azimah Ismail, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.
8) Anugerah Khas Sokongan Akademik – Fauzih Ayob.