Nor Aina Imra maut dalam nahas kemalangan di Kilometer 33, Jalan Gua Musang - Kuala Krai pada Isnin.
Nor Aina Imra maut dalam nahas kemalangan di Kilometer 33, Jalan Gua Musang - Kuala Krai pada Isnin.

Pelajar UUM maut kemalangan. 'Semoga Allahyarhamah Nor Aina Imra ditempatkan bersama orang beriman' - Warga maya

12 Aug 2025 11:05am

Pelajar Semester Dua, Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Nor Aina Imra Nor Amran, 21, maut dalam nahas kemalangan di Kilometer 33, Jalan Gua Musang - Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di Gua Musang, Kelantan pada Isnin.

Turut meninggal dunia dalam kemalangan itu ialah Muhammad Faiz Nor Amran, 32; Muhammad Aryan Fattah, 5; dan Muhammad Ayden Fattah, 4.

Masing-masing merupakan abang dan anak saudara kepada Nor Aina Imra.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, siasatan awal mendapati, kereta dipandu isteri Muhammad Faiz iaitu Tuan Nor Syuhada Mohd Zain, 23, (cedera parah) sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala Kuala Krai.

"Ketika sampai di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed menyampaikan ucapan simpati dan rasa dukacita kepada keluarga Allahyarhamah Nor Aina Imra.

"Seluruh warga Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan didoakan semoga roh dicucuri rahmatNya," kongsi beliau di Facebook.

Dalam pada itu, ruangan komen di laman Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (Official FB) turut dihujani pelbagai ucapan takziah dan doa daripada warga maya susulan pemergian Allahyarhamah Nor Aina Imra dan ahli keluarga yang lain. 

Artikel Berkaitan:

Rata-rata netizen menzahirkan rasa sedih dan kehilangan, selain mendoakan agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp