
Pemergian yang tidak dijangka. 'Jangkitan kuman ragut nyawa Adam Mukhlis. Warga UTeM sebak'
"Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman.
"Sesungguhnya, pemergian ini adalah ketentuan ALLAH SWT yang menguji kesabaran dan ketabahan kita semua.”
Begitulah hantaran sedih Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Profesor Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dalam Facebooknya 19 Disember lalu.
Catatan itu dibuat susulan pemergian pelajar Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Muhammad Adam Mukhlis Noor Azmer pada 18 Disember.

Sabri bersama rombongan UTeM yang terdiri daripada Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, FTKIP, Profesor Madya Dr Mohd Amri Sulaiman; Penyelaras Fakulti, Ts Dr Khairum Hamzah; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Affi Syahfizal Abdullah dan dua Pegawai Bahagian Kebajikan Pelajar telah menziarahi keluarga Allahyarham sebagai penghormatan kepada mereka atas kehilangan anak tercinta.
Dalam sesi ziarah-menziarahi itu, wakil UTeM turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga Muhammad Adam Mukhlis seperti kutipan derma kilat FTKIP, sumbangan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan MPP UTeM.
Turut diberikan, sumbangan khairat kematian daripada Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan pampasan insurans berkelompok sebagai tanda keprihatinan pihak universiti.

Sementara itu, UTeM terus bersedih apabila mereka kehilangan dua lagi pelajarnya, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan kerana terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 187.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara pada 26 Disember.
Mereka yang berusia 19 tahun, menaiki Perodua Myvi dan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang di KM 187.6 itu.
Diharapkan seluruh warga universiti tabah menghadapi kehilangan ini.
Sememangnya kematian tiga pelajar dalam satu masa pasti dirasai namun memori dan kebaikan yang ditinggalkan pastinya menjadi penguat semangat buat semua.