Pensyarah KKTM Kemaman meninggal dunia...'Allahyarham sangat berdedikasi, cemerlang & tenaga pengajar yang luar biasa'
Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman, Kemaman, Terengganu kehilangan sebutir permata apabila salah seorang pensyarahnya meninggal dunia pada Isnin.
Memetik perkongsian Facebook KKTM Kemaman, mereka memaklumkan, Allahyarham YM Engku Sazliana Engku Musa merupakan staf berdedikasi, rakan sekerja yang cemerlang dan pensyarah atau tenaga pengajar luar biasa di kolej itu.
"Jasanya dalam mendidik, membimbing dan memberi inspirasi kepada pelajar serta rakan sekerja amat dihargai dan akan sentiasa dikenang.
"Pemergian beliau ibarat kehilangan sebutir bintang yang sentiasa bersinar terang dalam memberi cahaya kepada sekelilingnya.
"Semoga ALLAH SWT memberikan kekuatan dan kesabaran kepada keluarga dan insan-insan yang mengenali beliau dalam menghadapi kehilangan ini,” catat hantaran itu.
Sementara itu, Sinar Bestari menemui satu hantaran komuniti di Facebook dikenali Ansara Batu Pahat (Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia Cawangan Batu Pahat) yang memaklumkan arwah adalah mantan guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, Johor.
Kematian Allahyarham yang mesra dengan panggilan Teacher Mekna cukup meninggalkan kesan dalam kalangan mereka.
"Kami berharap seluruh keluarga arwah menerimanya dengan penuh kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi musibah ini.
"Semoga dedikasi dan komitmen Allahyarham dalam akademik menjadi inspirasi kepada kita semua. Kenangan bersama arwah akan terus segar dalam ingatan kami. Al-Fatihah,” tulis admin Facebook.
Untuk info, KKTM Kemaman adalah salah satu institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditubuhkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyediakan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi tinggi dan kejuruteraan.
Terletak di Kemaman, Terengganu, kolej ini berperanan penting dalam menyokong pembangunan industri berat khususnya dalam sektor minyak dan gas, petrokimia dan teknologi mekanikal.