Hamdan meninggal dunia dalam nahas jalan raya membabitkan motosikal yang ditunggangnya dengan sebuah lori di Jalan Dato Mulia. Kredit foto: Facebook Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi MARA
Hamdan meninggal dunia dalam nahas jalan raya membabitkan motosikal yang ditunggangnya dengan sebuah lori di Jalan Dato Mulia. Kredit foto: Facebook Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi MARA

Pensyarah UiTM Jasin maut dalam kemalangan. 'Mangsa dikenali Hamdan Sulaiman'

11 Mar 2025 10:59pm

Warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin berdukacita atas pemergian salah seorang pensyarah mereka yang maut dalam satu kemalangan pada Selasa.

Hamdan Sulaiman, 34, yang merupakan pensyarah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi meninggal dunia dalam nahas jalan raya membabitkan motosikal yang ditunggangnya dengan sebuah lori di Jalan Dato Mulia, di sini, tengahari tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Bulatan Scientex Serkam menuju ke Bukit Kepok sebelum bertembung dengan sebuah lori yang sedang membuat pusingan U.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang berada di belakang tidak sempat membrek sebelum merempuh bahagian sisi kanan lori berkenaan.

"Akibat pelanggaran itu, beliau tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayatnya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Rusli berkata, pemandu lori yang berusia 62 tahun, hanya mengalami sakit dada dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi, di talian 011-11127533 atau Kaunter Aduan Trafik IPD Jasin di talian 06-529 2222 sambungan 260," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ruangan komen di Facebook Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi MARA dipenuhi dengan pelbagai ucapan takziah daripada warga maya.

Mereka mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarganya diberikan kekuatan menghadapi kehilangan ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp