Nor Hafizah ketika menerima dua anugerah dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52 baru-baru ini.
Nor Hafizah ketika menerima dua anugerah dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52 baru-baru ini.

Pentadbir UiTM genggam Anugerah Emas Kedoktoran & Tesis Terbaik

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
10 Dec 2024 01:54pm

Timbalan Pendaftar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Dr Nor Hafizah Ibrahim melakar sejarah peribadi apabila diumum penerima Anugerah Emas Kedoktoran kategori Sains Sosial dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52.

Beliau juga menerima Anugerah Tesis Terbaik sekali gus memperkukuhkan lagi kecemerlangannya dalam bidang akademik.

Sebagai pentadbir universiti, Nor Hafizah sering berdepan cabaran apabila perlu membangunkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang penyelidikan, yang bukan menjadi bidang fokus utama bagi kebanyakan pentadbir.

"Keterbatasan ini memerlukan usaha berganda untuk menguasai aspek-aspek metodologi penyelidikan, analisis data dan penerbitan akademik.

"Namun, dengan komitmen tinggi dan bimbingan daripada penyelia, saya berjaya mengatasi cabaran ini sekali gus membuktikan usaha gigih seorang pentadbir juga mampu meraih kecemerlangan akademik di peringkat tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

No Image Caption

Sebelum itu, Nor Hafizah yang merupakan graduan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM menjalankan kajian yang menggabung jalin kaedah kejuruteraan emosi atau kansei engineering, diadaptasi dari Jepun ke dalam bidang sains sosial.

Penyelidikan beliau memfokuskan faktor-faktor situasi yang mencetuskan emosi dan hubungannya dengan produktiviti pekerja.

Artikel Berkaitan:

Kajian ini turut mengintegrasikan konsep keagamaan sebagai mekanisme kawalan emosi, yang berupaya meningkatkan kesejahteraan psikologi dan produktiviti individu.

Penemuan kajian berkenaan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani khususnya dalam meningkatkan prestasi dan produktiviti penjawat awam.

Hasil penyelidikan menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan menekankan kepentingan kesejahteraan emosi pekerja untuk kesihatan mental yang lebih baik.

Sepanjang tempoh pengajian, Nor Hafizah berjaya mengimbangi tugas sebagai pentadbir universiti, tanggungjawab keluarga dan pengajian.

Malah, beliau turut berpeluang menyantuni ibu dan mertua yang memerlukan perhatian khusus.

Dengan strategi, disiplin dan sokongan keluarga serta bimbingan daripada penyelia, Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul, Profesor Ts Dr Anitawati Mohd Lokman dan Profesor Madya Dr Abu Hanifah Ayob, beliau berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Kejayaan Nor Hafizah hari ini datang daripada usaha berterusan.

"Dalam berusaha, perlu ada strategi, kaedah dan guru yang betul untuk membimbing.

"Pada masa sama, doa dan tawakal perlu dilakukan untuk kesejahteraan emosi serta mental," katanya yang juga menitikberatkan amalan 'me time', interaksi sosial, positif dan riadah untuk mengekalkan motivasi serta kesejahteraan diri.

Akhir sekali, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, UiTM dan UKM atas sokongan serta peluang yang diberikan sepanjang pengajian.

"Saya amat bersyukur kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada keluarga, penyelia, guru-guru dan rakan-rakan atas segala doa dan dorongan.

"Anugerah ini adalah bukti bahawa tiada kejayaan datang tanpa usaha dan kesabaran. Alhamdulillah usaha tidak akan mengkhianati hasil," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp