Penuntut UM Kampus Bachok singsing lengan bantu mangsa banjir
Seramai 43 mahasiswa Universiti Malaya (UM) Kampus Bachok, Kelantan menyertai Program Bantuan Banjir di Tumpat, Kelantan.
Menurut Pensyarah dan Penyelaras Akademik UM Kampus Bachok, Noordina Aziz, program tersebut turut membabitkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
"Peserta membersihkan Masjid Ittihadi Mukim Kubang Sawa dan tadika berdekatan yang terjejas banjir.
"Tidak lupa juga, bantuan banjir turut diagihkan kepada 150 buah rumah sekitar kawasan berkenaan," jelasnya.
Sementara itu, pengarah program, Nur Anis Alia Khairi Salam berkata, program Bantuan Banjir tersebut adalah di bawah subjek Social Responsibility (GDG 1011) dengan memberi tumpuan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan segera.
Malah, ahli jawatankuasa (AJK) kampus turut membuat kutipan sumbangan melalui mahasiswa, komuniti dan syarikat terpilih.
"Usaha ini membuktikan komitmen dan dedikasi untuk menghulurkan sokongan serta membawa harapan kepada mereka yang terjejas," jelasnya.
Dalam pada itu, mahasiswa semester lima jurusan Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Nur Dini Nadhrah Mohd Zamri memberitahu, aktiviti gotong royong dalam program tersebut merupakan pengalaman kali pertamanya bersama komuniti setempat.
Rakannya, Aida Shafiyah Rozali pula, melahirkan rasa sedih dan simpati kepada mangsa banjir.
Ujarnya, pelbagai pengalaman diperoleh ketika membersihkan masjid dan kawasan sekitar termasuklah menyaksikan banyaknya rumah yang terjejas akibat banjir.