Perjuangan menuntut ilmu perlukan kesabaran
"Anta (kamu) akan habis, tapi anta kena sabar," itulah ungkapan penyelia kedua Doktor Falsafah (PhD) penulis, Almarhum Dr Bharuddin Che Pa yang sentiasa terngiang-ngiang dan menjadi penguat semangat untuk penulis meneruskan dan menghabiskan pengajian.
Kata-kata itu jugalah yang membuatkan penulis menitiskan air mata di hadapan panel sewaktu selesai sidang viva-voce tesis, tanda syukur dan puas kerana kesabaran dalam menelusuri onak duri pengajian peringkat PhD sepanjang 10 tahun berakhir dengan kemanisan, persis sepertimana ungkapan di atas.
Benar, perjalanan dalam mengharungi samudera, membelah ombak, menerjang badai dalam menuntaskan pengajian tahap tertinggi ini perlu disertai kesabaran.
Apatah lagi, penulis menyambung pengajian secara fast-track (tanpa melalui peringkat Master) dengan bidang yang baharu, sudah tentu memerlukan kesabaran yang tinggi untuk melalui proses demi proses.
Bukan sahaja sabar dalam menyempurnakan penulisan tesis dan menghadapi lima peringkat pembentangan, tetapi juga sabar dalam mengharungi proses menata satu persatu arah kehidupan.
Tidak dinafikan, musuh utama yang seringkali menjadi penghambat untuk terus fokus terhadap perjalanan menuntut ilmu ini ialah merasa lelah.
Sebenarnya, wajar saja seseorang penuntut ilmu itu merasa lelah. Mengambil ibrah kisah Nabi Musa AS yang mencari Nabi Khidir AS untuk menuntut ilmu. Al-Quran menggambarkan keluhan rasa lelah Nabi Musa, "Sesungguhnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan ini." (Surah al-Kahfi: 62)
Dalam ayat itu, ALLAH SWT ingin menunjukkan bahawa dalam mencari apa pun, terutama yang sangat berharga, pasti akan mengalami kelelahan. Ditambah pula ujian-ujian yang dialami oleh Nabi Musa tatkala berguru dengan Nabi Khidir, kesemua itu mengajarkan erti kesabaran dalam menghadapi apa jua persoalan dan cabaran hidup, khususnya dalam menuntut ilmu.
Selain kesabaran, pengajian di peringkat PhD sememangnya suatu perjuangan yang menuntut keazaman yang tinggi dan tidak mudah berputus asa. Tidak hairanlah bukan sedikit yang terkandas di tengah jalan kerana beratnya bebanan dan cabaran yang membuatkan seseorang merasa tertekan lantas berputus asa.
Menandakan bahawa pengajian di peringkat PhD memang benar-benar mencabar. Itulah sebab ada sebahagian orang yang menggelarkan PhD sebagai singkatan dari Permanent Head Damage.
Cabaran
Kerana mencabarnya, orang yang meneruskan pengajian di peringkat ini tidak hanya memerlukan kecerdasan sahaja tetapi ada komponen lain sebagai penunjang iaitu ketahanan mental yang kuat, semangat juang yang tinggi dan usaha yang berterusan.
Ibarat lari maraton, siapa yang tahan dengan cabaran dan terus berusaha, maka dia yang akan mencapai garisan penamat. Ibarat mendaki gunung, indahnya pemandangan hanya akan dapat dilihat tatkala melalui pendakian yang penuh liku. Seperti pepatah Inggeris, The best view comes after the hardest climb.
Teringat penulis akan titipan kata-kata semangat penyelia pertama, Profesor Madya Dr Mohamad Zaidi Abdul Rahman; "Selalu ada jalan bagi orang yang berusaha dan tidak berputus asa."
Inilah kata-kata semangat yang menjadi azimat buat penulis terus berjuang sehingga ke puncak kejayaan. Bak kata pepatah masyhur Arab, “Man jadda wajada”, yang bermaksud siapa yang berusaha bersungguh-sungguh, maka dia akan dapat (kejayaan).
Namun, pepatah Arab ini perlu disandingkan dengan pepatah Arab lainnya, “Man sajada wajada”, yang bermaksud siapa yang bersujud (memperbanyak solat), maka dia akan dapat (kejayaan).
Saat paling dekat di antara seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia bersujud.
Oleh itu, penulis jadikan setiap sujud terakhir di dalam solat sebagai detik untuk memohon kepada ALLAH agar dipermudahkan segala urusan dan tercapai apa yang dihajatkan.
Ditambah pula dengan bidikkan panah-panah doa dan sokongan dari insan-insan tercinta membuatkan perjalanan panjang dalam menuntut ilmu ini sangat bererti.
Betapa pentingnya support system bagi memastikan semangat terus membara membawa obor harapan ke mercu kejayaan.
Ya, mungkin tempoh untuk menghabiskan pengajian ini memakan waktu yang agak lama.
Namun, pengajian di peringkat PhD itu sendiri merupakan perjuangan. Adalah suatu kesalahan besar apabila membandingkan perjalanan setiap orang yang berjuang dengan jalan ceritanya masing-masing kerana ia bukan cerita tentang siapa yang sampai ke garisan penamat terlebih dahulu, melainkan dia yang mahu berjuang sehingga akhir. Dan sudah tentu, semuanya terjadi dengan izin dari ALLAH, Alhamdulillah.
Bagaimanapun, pengajian di peringkat PhD ini bukanlah penamat, begitu juga konvokesyen bukanlah pengakhiran untuk terus menuntut ilmu.
Kerana hakikatnya ilmu itu perlu terus dicari dan digali sepertimana kalam ulama, “Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.” Mutiara kata indah ini bukanlah hadis Nabi SAW, tetapi kita dapat mengambil hikmah supaya mengambil berat dalam menuntut ilmu sejak kecil dan selagi nyawa di kandung badan bersesuaian dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat.
Akhir kalam, penulis ingin merakamkan jutaan penghargaan terutamanya kepada penyelia pertama, tidak dilupakan kepada Almarhum penyelia kedua (semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohnya), pihak Universiti Malaya dan Akademi Pengajian Islam.
Seterusnya kepada mak abah, isteri dan anak-anak, ibu ayah mertua, nenek, adik beradik, saudara mara, para pensyarah dan guru, rakan-rakan, para pelajar serta semua pihak yang mendoakan serta memberikan sokongan.
Semoga ALLAH membalasnya dengan kebaikan yang berganda.
Maklumat Penulis:
Graduan Ijazah Kedoktoran di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Fahmi Md Ramzan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my