Allahyarham Khairul Ikhwan (kiri) merupakan alumni Diploma Kejuruteraan Elektronik (Perubatan) di PSA. Foto: Facebook PSA
Allahyarham Khairul Ikhwan (kiri) merupakan alumni Diploma Kejuruteraan Elektronik (Perubatan) di PSA. Foto: Facebook PSA

'Petugas berdedikasi, pemergiannya kehilangan besar buat Fakulti Pergigian' - Naib Canselor UKM

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
26 Dec 2024 04:17pm

"Saya baru sahaja bermesyuarat dengan beliau bulan lepas bagi membincangkan projek pemindahan Fakulti Pergigian dan Allahyarham banyak membantu dari segi penambahbaikan reka bentuk dan ruang fakulti," kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Perkongsian itu dibuat susulan pemergian Khairul Ikhwan Mazupi yang maut di Kilometer (KM) 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, Isnin lalu.

Allahyarham Khairul Ikhwan iaitu bapa kepada murid Tahun Satu, Sekolah SRI Al-Amin, Bangi, Selangor, Muhammad Uwais Al-Qarni disifatkan sebagai petugas berdedikasi sepanjang berkhidmat di universiti tersebut.

"Beliau penolong jurutera dan banyak terlibat dalam projek pemindahan Fakulti Pergigian UKM di Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur ke Cheras.

"Pemergiannya satu kehilangan besar buat fakulti ini," ujarnya.

Menurut Mohd Ekhwan, pihak universiti akan membantu menjaga kebajikan dua anak Allahyarham yang parah dan kini masih dirawat di Hospital Melaka.

No Image Caption

"Sebelum ini, ada kakitangan UKM meninggal dunia dan kita tanggung anaknya daripada kecil sampai sudah bekerja.

"Jadi kita sedang fikirkan untuk guna kaedah itu atau lain-lain cara tetapi dari segi kebajikan, memang ada berikan sumbangan khusus," jelasnya lagi.

Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan isteri, Fadzlenna Ramli, 32, serta anak bongsu mereka, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, lori foton, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza di KM 204 PLUS arah utara.

Turut menemui ajal, ibu bapa Fadzlenna iaitu Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69, yang menaiki MPV sama.

Sementara itu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam, Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Khairul Ikhwan.

Catat mereka di Facebook, mangsa merupakan alumni Diploma Kejuruteraan Elektronik (Perubatan) di PSA.

Manakala, isterinya juga pernah menyambung pengajian dalam program sama sebelum mengikuti Latihan Penolong Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Semoga ALLAH ampunkan segala dosa menerima segala amalan dan mengangkat darjat arwah di sisiNya.

"Dan pemergian beliau menjadi kerehatan sebenar dari urusan dunia, dilindungi seksa kubur dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Aamiin," menurut hantaran PSA menerusi laman sosial tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp