Platform pembelajaran antarabangsa di MSU
Pendidikan berkualiti menjadi agenda utama Management & Science University (MSU) dalam melahirkan graduan yang holistik, berkualiti dan kompeten.
Terkenal dengan visi komitednya ke arah mencerna kecemerlangan dan kejayaan dalam kalangan graduannya, MSU telah melaksanakan pelbagai strategi khusus bagi mencapai matlamat itu.
Antara strateginya adalah inisiatif pengantarabangsaan, di mana MSU telah menyediakan platform khusus kepada mahasiswa untuk mendapat pendedahan global melalui Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP).
Penyertaan mahasiswa dalam program-program ini bukan sahaja mampu memperkasakan kemahiran insaniah tetapi memperkukuhkan lagi penghayatan mereka terhadap aspek keunikan sosial dan budaya, perkongsian maklumat dan kemahiran.
Ia juga membabitkan sistem pembelajaran dan pengajaran, jaringan kerjasama, rakan baharu, khidmat komuniti dan sebagai ‘duta kecil’ negara.
GMP membolehkan mahasiswa memperkasakan pengalaman global mereka dalam aspek akademik di mana sejumlah 350 rakan universiti MSU di seluruh dunia sebagai pilihan bagi menimba ilmu.
Negara-negara terlibat termasuklah United Kingdom, Jerman, Australia, Jepun, Ireland, Korea Selatan, China, Kazakhstan, Turkiye, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, India, Indonesia, New Zealand dan lain-lain.
Manakala GLP pula lebih berbentuk pendedahan mahasiswa MSU kepada program-program jangka pendek untuk mengukuhkan dan membina aspek-aspek kepimpinan mereka.
Program ini merangkumi penyertaan mereka dalam program khidmat sosial, lawatan sambil belajar serta perkongsian budaya yang dirancang dengan pelbagai institusi pengajian tinggi luar negara dan badan-badan global yang lain.
Seterusnya, GIP pula membolehkan mahasiswa MSU menjalani latihan industri di peringkat global samada bersama organisasi korporat, institusi pengajian tinggi, NGO, pusat penyelidikan, hospital serta industri hospitaliti.
Justeru, universiti ini telah memperkenalkan Scholarship for Mobility and International Learning Experiences (SMILE) sebagai inisiatif di bawah Yayasan MSU bagi menyokong dan memperkasakan program mobiliti berkenaan serta memberikan akses yang lebih meluas kepada pelajar untuk terlibat sama.