Rangkul ijazah kelas pertama! 'Saya ketepikan rasa rendah diri demi mengejar kejayaan' - Aiman Harith
"Saya sudah lali dengan pandangan serong daripada masyarakat.
"Kadang-kadang rasa sedih juga, namun saya mesti bangkit dan perlu cekal untuk terus maju walaupun jalannya sukar,” kata graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis Kampus Arau, Aiman Harith Zaharudin, 25.
Beliau yang hanya memiliki ketinggian 105 sentimeter (cm) baru sahaja menerima ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-99, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam, Selangor.
Paling mengujakan, ijazah yang diterima itu bukan ‘biasa-biasa’ sebaliknya Aiman Harith menerima ijazah kelas pertama.
Menurut anak kelahiran Taiping, Perak, dirinya bersyukur kerana berjaya dengan cemerlang walaupun diri serba kekurangan.
"Saya tahu ketinggian diri tidak seperti graduan normal lain.
"Tetapi saya ketepikan perasaan ‘rendah diri’ itu dan teruskan pengajian dengan bantuan rakan-rakan dan pensyarah.
"Terima kasih kepada keluarga dan warga UiTM terutamanya Cawangan Perlis yang tidak pernah lelah memberi sokongan dan sentiasa di sisi saat diperlukan,” ujarnya yang mendapat purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.55.
Sementara itu, Aiman Harith yang kini terlibat dalam Work Placement Programme (WPP) Maybank sebagai protege menaruh harapan tinggi kepada pihak kerajaan agar membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan istimewa seperti dirinya.
Ia kerana, individu istimewa juga berhak untuk berjaya.