
Rezeki 78,883 pelajar! Tawaran Ijazah Sarjana Muda kini milik mereka
Detik bersejarah buat ribuan pelajar apabila seramai 78,883 calon berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam (UA) bagi sesi akademik 2025/2026.
Pengumuman itu sekali gus menandakan bermulanya lembaran baharu perjalanan pendidikan tinggi buat puluhan ribu anak muda di seluruh negara.
Daripada 109,866 permohonan yang diterima menerusi UPUOnline, sejumlah 71.8 peratus calon ditawarkan tempat melibatkan 1,132 program pengajian di 20 UA seluruh Malaysia. Pemilihan dilakukan secara telus berasaskan prinsip meritokrasi, dengan susunan markah merit tertinggi hingga terendah.

Peluang kedua melalui rayuan
Bagi calon yang tidak berjaya, KPT membuka peluang kedua melalui proses rayuan UPUOnline® bermula 5 September 2025 jam 12 tengah hari hingga 14 September 2025 jam 5 petang. Rayuan ini akan dipertimbangkan berdasarkan kekosongan tempat selepas pendaftaran pelajar baharu.
Dalam kenyataannya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan penghargaan kepada semua calon yang telah membuat permohonan, sambil menitipkan pesanan agar peluang menimba ilmu di peringkat universiti dimanfaatkan sebaiknya.
“Selamat maju jaya kepada semua calon, semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sepenuhnya,” ujar KPT.