
RM1.8 juta Dermasiswa Al-Ikhlas: UMT pastikan pelajar tidak tercicir kerana kekangan kewangan
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh agenda kebajikan pelajarnya apabila sejumlah RM1.8 juta Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas disalurkan menerusi Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas di Dewan Sultan Mizan, UMT.
Sumbangan itu disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim dengan disaksikan wakil agensi zakat penyumbang utama.
Bantuan zakat berkenaan diagihkan kepada pelajar melalui tiga kategori iaitu Bantuan Awal Pengajian bernilai RM500 setiap seorang kepada 1,000 pelajar baharu, bagi membantu mereka menampung keperluan asas pada awal semester; Bantuan komputer riba kepada 40 pelajar asnaf dan Biasiswa Al-Idrisi UMT bernilai RM18,000 yang tahun ini diberikan kepada seorang penerima tunggal.
Bagi pelajar Diploma Perikanan, Muhammad Hafizi Mohd Arifin, 18, bantuan komputer riba ini amat bermakna kerana sebelum ini dia hanya mampu meminjam daripada rakan untuk menyiapkan tugasan.
"Dengan adanya bantuan berkenaan, saya lebih bersemangat untuk belajar dan berusaha mencapai keputusan terbaik,” ujar anak kepada pasangan penoreh getah yang berasal dari Jerantut, Pahang.

Turut diraikan ialah Nur ‘Azhiimah Mohd Ali, 28, pelajar Sarjana Muda Sains Akuakultur Dengan Kepujian, yang diumumkan sebagai penerima tunggal Biasiswa Al-Idrisi UMT bernilai RM18,000 setelah berjaya memperoleh CGPA 3.44.
"Biasiswa ini bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah menjadi motivasi untuk saya menamatkan pengajian dengan cemerlang. Saya berazam membalas jasa semua pihak dengan kejayaan," kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.
Terdahulu, Mohd Zamri menegaskan bahawa kolaborasi UMT bersama agensi zakat ini adalah bukti keprihatinan terhadap masa depan pelajar.

"Usaha ini bukan sahaja meringankan beban, malah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik mereka. Kita mahu memastikan tiada pelajar tercicir daripada memperoleh pendidikan berkualiti hanya kerana kekangan kewangan,” katanya dalam majlis itu.
Turut hadir wakil penyumbang zakat seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Bank Islam, CIMB Islamic, RHB Islamic dan Bank Muamalat, yang komited menyokong agenda pembangunan pendidikan tinggi negara.
Ringkasan AI
- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan RM1.8 juta Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas untuk kebajikan pelajarnya
- Sumbangan disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim
- Zakat diagihkan menerusi tiga kategori iaitu Bantuan Awal Pengajian, bantuan komputer riba untuk pelajar asnaf, dan Biasiswa Al-Idrisi UMT
- Muhammad Hafizi Mohd Arifin, pelajar Diploma Perikanan menerima bantuan komputer riba
- Nur 'Azhiimah Mohd Ali, pelajar Sarjana Muda Sains Akuakultur menjadi penerima tunggal Biasiswa Al-Idrisi UMT bernilai RM18,000