
'Semalam saksi anak bergelar graduan, hari ini ayah pergi buat selama-lamanya. Allahuakbar, sedihnya...'
"Semalam ayah melihat anaknya naik ke pentas...hari ini anaknya menyaksikan ayah pergi buat selama-lamanya."
Itulah detik paling sedih buat graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Fadil Sharifuddin yang baru sahaja bergraduasi baru-baru ini.
Menurut perkongsian UPNM, saat Fadil melangkah ke pentas untuk menerima skrolnya, sosok ayah tercinta, Sharifuddin Masod, menahan sebak.
"Bukan kerana sedih, tetapi kerana bangga melihat anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang akhirnya berjaya mencapai kejayaan besar dalam hidupnya.

"Ketika matanya mencari wajah ayah, dunia seolah berhenti seketika apabila matanya bertemu dengan pandangan penuh kasih seorang bapa. Itulah detik yang tak boleh diulang. Detik yang hanya Tuhan tahu betapa berharganya," tulisnya di Facebook.
Namun siapa sangka, kebahagiaan itu hanya sementara. Keesokan harinya, pada Jumaat yang tenang, ayah tercinta meninggal dunia.
Berita sedih itu seakan menamatkan satu babak indah dan mengubah kegembiraan menjadi pilu.

"Pada hari Jumaat yang tenang, ayahnya pergi setelah menyaksikan kejayaan anaknya dengan mata sendiri. Orang selalu kata rezeki hadir dalam pelbagai bentuk. Bagi Fadil, rezekinya adalah sempat membahagiakan ayahnya pada hari terakhir lelaki itu di dunia," kongsi UPNM lagi.
Sinar Bestari percaya, bukan mudah bagi Fadil untuk menerima kehilangan ini dalam sekelip mata, namun percayalah setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan ketentuan dari Yang Maha Esa.
Salam takziah dan doa buat keluarga Allahyarham Sharifuddin Masod. Semoga roh beliau dicucuri rahmat, ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan tenang di sisi ALLAH SWT.
Ringkasan AI
- Semalam ayah melihat anaknya naik ke pentas, hari ini anaknya menyaksikan ayah pergi buat selama-lamanya
- Muhammad Fadil Sharifuddin baru sahaja bergraduasi dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
- Sosok ayah, Sharifuddin Masod, bangga melihat kejayaan anaknya
- Ayahnya meninggal dunia keesokan harinya, menamatkan babak kebahagiaan
- UPNM mengongsi kisah ini sebagai pengingat tentang betapa berharganya detik-detik dengan orang yang kita sayangi
