
Siti Fairuz Rohaliza dinobat penerima Anugerah Siswi Cemerlang 2025 PSWM. Bukan calang-calang graduan!
Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Siti Fairuz Rohaliza Ejahar, mencatat sejarah peribadi apabila dinobat sebagai penerima Anugerah Siswi Cemerlang 2025 oleh Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM) pada Sabtu.
Anugerah ini bukan sekadar menilai kecemerlangan akademik, malah turut mengangkat keistimewaan dari segi kepimpinan, penglibatan aktif dalam masyarakat, keperibadian mulia, pemikiran kritis serta nilai-nilai teras yang membentuk insan holistik seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Menurut Siti Fairuz Rohaliza, pengiktirafan yang diterimanya pada 10 Mei lalu benar-benar mengejutkan dirinya.
"Anugerah ini bukan hanya milik saya, tetapi milik semua pendidik, keluarga dan insan yang menyokong sepanjang perjalanan ini.
"Ia adalah satu tanggungjawab untuk terus menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara,” katanya yang turut merangkul Anugerah Pelajaran Diraja dalam Istiadat Konvokesyen UPSI Kali ke-26.
Sementara itu, PSWM menyifatkan Siti Fairuz Rohaliza sebagai lambang siswazah wanita ideal yang seimbang antara kecerdasan intelek, kekuatan peribadi dan tanggungjawab sosial.
"Inilah model graduan yang kita mahu tonjolkan dan yang mampu menjadi agen perubahan serta suri teladan kepada generasi akan datang,” maklumnya dalam satu kenyataan.

Untuk info, Siti Fairuz Rohaliza dikenali sebagai graduan yang sangat cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan kepimpinan.
Beliau juga aktif dalam pembangunan belia sebagai Felo Perdana 2022 di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berperanan dalam pembangunan modul pengantarabangsaan belia bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara.
Di peringkat global, Siti Fairuz Rohaliza terpilih menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) 2023 yang memfokuskan kepada perkukuh jaringan kepimpinan antarabangsa.
Selain itu, kejayaannya dalam penganjuran '36 Jam Pengucapan Awam Tanpa Henti' yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records mencerminkan kepimpinan strategik dan keupayaan menggerakkan program berskala besar.