Kumpulan 22 Pelajar Bakti Siswa UPM bergambar kenangan selepas gotong-royong di Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah, Semenyih. Gambar kecil: Hazwan Hamizan dan Anisah.
Kumpulan 22 Pelajar Bakti Siswa UPM bergambar kenangan selepas gotong-royong di Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah, Semenyih. Gambar kecil: Hazwan Hamizan dan Anisah.

Sulaman kasih komuniti siswa UPM

18 Jan 2024 07:00am

Seramai 22 mahasiswa Bakti Siswa, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan program komuniti berteraskan sukarelawan terhadap komuniti setempat di Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah, Semenyih, awal Januari lalu.

Inisiatif ini memberikan sokongan positif kepada warga emas yang terpinggir daripada keluarga sekali gus memberi pengalaman berharga yang membawa sinar dan memori indah dalam kehidupan mereka.

Sesi perkongsian ilmiah menjadi medan di mana pelajar dan warga emas dapat berkongsi ilmu kisah dan pengalaman, meredakan pahitnya kesunyian dan mengatasi rindu akan kenangan manis yang semakin pudar.

Pelbagai aktiviti dirangka dan variasi slot menarik direncana seperti menyantuni warga emas di pusat jagaan itu. Para peserta juga melakukan aktiviti keceriaan landskap yang menjadi tunjang utama aktiviti.

Program kali ini memfokuskan pembangunan landskap hijau yang ceria seperti penanaman pokok-pokok hiasan di sekitar pusat jagaan warga emas sebagai taman angkat UPM.

Selain itu, aktiviti keceriaan mural bertemakan flora dan fauna di dinding kediaman merupakan salah satu inisiatif dalam menceriakan kawasan pusat jagaan tersebut.

Tambahan pula, perkongsian ilmu berteraskan kesihatan, pengalaman hidup suka dan duka, aktiviti nyanyian kilauan emas, ceramah cakna kesihatan serta solekan dan dandanan rambut dijalankan sebagai pengisian aktiviti.

Gotong-royong pembersihan Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah ini juga meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan kawasan persekitaran di sana.

Artikel Berkaitan:

Sekitar kerja-kerja gotong-royong, ramah mesra dan keceriaan mural di Pusat Jagaan Warga Emas Al Fattah, Semenyih, Selangor.
Sekitar kerja-kerja gotong-royong, ramah mesra dan keceriaan mural di Pusat Jagaan Warga Emas Al Fattah, Semenyih, Selangor.

Pengerusi Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah, Muhammad Azlan Abdul Rahman turut memperingatkan agar individu tidak memperlakukan ibu bapa mereka dengan kurang hormat.

Beliau juga menyuarakan keperluan kewangan dan bekalan bahan makanan di pusat jagaan itu serta menekankan kepentingan sokongan untuk memastikan kesejahteraan warga emas yang dirawat di sana.

Dengan sokongan kukuh dari Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM, program ini bukan sekadar menjadi pendorong bagi inisiatif komuniti, tetapi juga mengangkat martabat tajuk program, iaitu 'Menyulam Kasih, Menyemai Bakti'.

Aktiviti ini juga mencerminkan komitmen UPM dalam melibatkan pelajar secara aktif dalam projek komuniti yang tidak hanya memberikan manfaat kepada masyarakat tetapi menanamkan nilai insaniah dan kecemerlangan.

Kejayaan program ini menjadi tanda semangat gotong-royong dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar, memperkuat ikatan erat antara universiti dan masyarakat.

Maklumat Penulis

Pengarah, Bakti Siswa Kumpulan 22, Program Menyulam Kasih Menyemai Bakti, Hazwan Hamizan Wan Zaidin dan Naib Pengerusi, Anisah Hishamuddin.

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp