Peserta IPRMSA Networking & Leadership Programme Series II 2023 di CEMACS, Pulau Pinang baru-baru ini.
Peserta IPRMSA Networking & Leadership Programme Series II 2023 di CEMACS, Pulau Pinang baru-baru ini.

Tingkat kemahiran perhubungan awam

ROSHLAWATY MD RAIEH
19 Dec 2023 04:43pm
A
A
A

Bagi meningkatkan kemahiran perhubungan awam dalam kalangan penuntut, beberapa universiti tempatan mengikuti satu program ilmiah selama tiga hari dua malam di Pusat Kajian Samudera dan Pantai, Universiti Sains Malaysia (USM) (CEMACS), Pulau Pinang.

Sejumlah sembilan institut pengajian tinggi (IPT) terlibat dalam program dikenali Institute of Public Relation Malaysia Student Association (IPRMSA) Networking & Leadership Programme Series II 2023.

IPT itu terdiri daripada USM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, UiTM Kampus Shah Alam, Cawangan Selangor; Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Wollongong Malaysia (UOW) dan Tunku Abdul Rahman University College (TAR UC).

USM menerusi kenyataan media memaklumkan, IPRMSA Networking & Leadership Programme Series II 2023 bertujuan meningkatkan kemahiran perhubungan awam penuntut IPT sekali gus mewujudkan perintis masa depan dalam bidang perhubungan awam.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada peserta antaranya mencabar diri dalam kemahiran berfikir serta mewujudkan strategi lebih kreatif ketika menyelesaikan masalah.

“Program juga memberi peluang peserta mengasah bakat mereka untuk menjadi pelatih perhubungan awam profesional,” tulis kenyataan tersebut.

Secara keseluruhan, matlamat program adalah untuk menghubungkan peserta bersama organisasi lain sambil mempraktikkan ilmu dan kemahiran perhubungan awam lebih profesional kerana penggunaan teknologi, jangkaan masyarakat dan komunikasi berubah sehingga ia memberi kesan ketara kepada perhubungan awam pada masa hadapan.

Justeru, program sedemikian dapat membantu melahirkan barisan generasi yang dapat meningkatkan piawaian perhubungan awam kelak.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok