Massila (kiri) dan Puiu Lucian (dua dari kanan) selesai menandatangani MoU di Galati, Romania baru-baru ini.
Massila (kiri) dan Puiu Lucian (dua dari kanan) selesai menandatangani MoU di Galati, Romania baru-baru ini.

UTeM meterai MoU bersama universiti ternama Romania

20 Oct 2023 03:33pm

Dalam usaha memperkasa penerokaan bidang penyelidikan dan mobiliti mahasiswa antara Asia dan Eropah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil langkah dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Dunarea de Jos University of Galati (DJUG) Romania baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, DJUG merupakan rakan strategik pertama UTeM dari Romania dan hubungan dua hala ini dilihat mampu menyerlahkan kerjasama hebat dalam konteks penyelidikan dan inovasi.

“DJUG merupakan salah satu universiti di Eropah yang mempunyai pembiayaan Erasmus+ untuk program mobiliti para penuntut.

“Jalinan kerjasama ini turut mengangkat imej dan prestij UTeM di peringkat dunia terutama dalam konteks kecemerlangan akademik antaranya menerusi pertukaran kursus dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, pengurusan teknologi dan teknousahawan serta bidang-bidang lain yang berkaitan,” ujarnya di DJUG, Galati, Romania.

Sebelum itu, dokumen MoU telah ditandatangani Massila bersama Rektor DJUG, Profesor Puiu Lucian Georgescu bertempat di Galati, Romania.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UTeM, Profesor Ts Dr Noreffendy Tamaldin dan Timbalan Rektor DJUG, Profesor Elena Mereuta,.

Sementara itu, Massila berkata, hubungan kerjasama berkenaan bakal memberikan impak kepada pendidikan berkualiti bagi meningkatkan taraf sosioekonomi dan meningkatkan kerjasama global di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pendidikan Berkualiti dan SDG17 Rakan Kerjasama untuk Matlamat.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp