Murid Tahun Satu kelihatan ceria semasa bergambar bersama selepas menghadiri perhimpunan hari pertama sebelum memulakan sesi pembelajaran yang bermula hari ini di Sekolah Kebangsaan St Paul Seremban.
Murid Tahun Satu kelihatan ceria semasa bergambar bersama selepas menghadiri perhimpunan hari pertama sebelum memulakan sesi pembelajaran yang bermula hari ini di Sekolah Kebangsaan St Paul Seremban.

Selepas 125 tahun, SK ST Paul terima pelajar perempuan

11 Mar 2024 11:03am
A
A
A

Selepas 125 tahun penubuhannya, Sekolah Kebangsaan (SK) St. Paul, Seremban di Negeri Sembilan mencatat sejarah apabila mula menerima kemasukan murid perempuan buat kali pertama bersempena dengan sesi baharu persekolahan, Isnin.

Pengerusi Lembaga Pengurus sekolah, Dr Mahadevan Deva Tata berkata, pengambilan murid perempuan di sekolah itu merupakan inisiatif yang ingin dilakukan sekian lama berikutan kekurangan murid sejak lima tahun lepas.

"Biasanya, murid Darjah Satu lebih 100 orang, tapi sejak lima tahun kebelakangan ia menurun kepada kira-kira 70 pelajar sahaja, jadi bekas guru besar sebelum ini mahu kita buat sesuatu, kerana kita tidak mahu sekolah ini ditutup jika jumlah murid semakin sedikit. Kita tak mahu keadaan jadi teruk baru nak ubah.

"Kebanyakan ibu bapa hantar anak perempuan mereka ke sini disebabkan turut hantar anak lelaki ke sini, jadi ia memudahkan pihak sekolah selain kita buat promosi, ramai yang nak daftar untuk tahun dua dan tiga tapi kita ambil tahun satu sahaja buat masa ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Para guru dan pengawas SK St Paul Seremban membantu murid darjah satu bagi memulakan sesi pembelajaran yang bermula Isnin.
Para guru dan pengawas SK St Paul Seremban membantu murid darjah satu bagi memulakan sesi pembelajaran yang bermula Isnin.

Guru Besar, E Margret berkata, seramai 10 murid perempuan Darjah Satu mendaftar di sekolah itu dan menjangkakan peningkatan selepas ini dengan segala persiapan dan kemudahan untuk mereka termasuk tandas dilakukan sejak dua bulan lepas.

"Kita mahukan perubahan demi kemenjadian mereka pada masa hadapan, hari ini saya tengok mereka gembira dan teruja datang ke sekolah. Tiada bantahan daripada ibu bapa, tujuan kita adalah untuk meningkatkan jumlah murid di sekolah ini," katanya dan menambah sejumlah 102 murid Darjah Satu mendaftar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, murid Darjah Satu, Ashley Vianna Mattheus, 7, berkata dia berasa teruja untuk hadir ke sekolah kerana mahu berjumpa rakan-rakan baharu.

"Saya bangun (jam) 6 pagi hari ini, sarapan sebelum ayah hantar ke sekolah, rasa gembira lepas lama cuti, ada rasa gementar sedikit sebab sekolah baharu tapi (teruja sebab) dapat jumpa ramai kawan," katanya.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin memaklumkan keseluruhan sebanyak 174,110 murid sekolah rendah dan menengah memulakan sesi persekolahan di negeri ini pada hari ini. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok