Anak-anak didik Kelab Jiwa Panah beraksi dengan busur dan anak panah mereka.
Anak-anak didik Kelab Jiwa Panah beraksi dengan busur dan anak panah mereka.

Kekuatan kami dengan memanah!

18 Mar 2024 08:30am

Daripada Uqbah bin Amir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar yang bermaksud; “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah),” hadis Riwayat Muslim.

Daripada hadis itu jelas menunjukkan kebaikan dalam mempelajari dan mendalami ilmu memanah yang tidak hanya untuk golongan dewasa tetapi juga membantu para pelajar menjadi lebih kuat.

Kekuatan yang dinyatakan dalam hadis tersebut tidak bermaksud kekuatan fizikal semata-mata, malah ia juga boleh dikaitkan dengan kekuatan mental dan daya fikir yang membantu pelajar dalam sukan mahupun akademik.

Sempat menemu bual pelajar di bawah Kelab Jiwa Panah, Sinar Bestari mendapati rata-rata mereka bermula dengan ajakan ibu bapa, namun setelah melihat sendiri perubahan pada diri menjadi titik tolak untuk terus mendalami sukan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Jom kita ikuti kisah mereka!

DHYA' FAATEHAH
DHYA' FAATEHAH



CERITA 1:

Jelas kelihatan keterujaan di wajah pelajar Tahun Empat, Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 17/1, Dhya’ Faatehah Ahmad Taqiyuddin ketika beraksi dalam memanah.

Menurutnya, sukan itu telah mula dipelajari ketika berada di Tahun Dua dan kini dia sudah semakin mahir mengendalikan busur dan panahnya.

Artikel Berkaitan:


“Saya memang nak belajar memanah sebab rasa seronok tengok mereka yang dah mahir memanah ini.

“Mula-mula memang akan rasa sakit terutamanya pada jari sebab nak tarik panahkan, tapi lama-kelamaan sudah terbiasa dan tidak sakit lagi,” katanya.

Ditanya mengenai sebab mengapa sukan memanah menjadi pilihan, Dhya’ Faatehah memberitahu, di sekolahnya sudah ada sukan berkenaan dan ia menyuntik lagi minatnya untuk lebih mempelajari agar lebih mahir pada masa akan datang.

Walaupun alatan panah yang digunakan di sekolah adalah moden yang jauh berbeza dengan alatan tradisional yang dipelajari di kelab ini namun ia tidak menjadi masalah untuk Dhya’ Faatehah menguasai kedua-duanya.

PUTRA QAISER MUQRI
PUTRA QAISER MUQRI



CERITA 2:

Pelajar Tahun Enam dari SK Putrajaya Presint 17/1 ini berpendapat, mempelajari memanah boleh melatih dirinya menjadi lebih berdisiplin.

Putra Qaiser Muqri Mohd Faizal memberitahu, perubahan ketara itu membentuk dirinya menjadi murid dan anak bersifat positif jauh lebih baik daripada sebelumnya.

“Bukan sahaja membentuk disiplin, tetapi saya juga dapat mendalami sunnah Nabi dan keseronokan dalam memanah.

“Walaupun pada awalnya saya sertai kelab memanah ini kerana dihantar oleh mak tetapi lama-lama timbul pula rasa minat untuk terus kekal berlatih dalam sukan ini,” ujarnya.

Putra Qaiser juga memaklumkan, dia menyimpan cita-cita untuk menjadi atlet memanah negara dan untuk itu dia akan berlatih dengan bersungguh-sungguh.

PUTRI QAIREEN BATRISYA
PUTRI QAIREEN BATRISYA



CERITA 3:

Turut memasang niat untuk menjadi atlet memanah negara, Putri Qaireen Batrisya Mohd Faizal sudah mula menguasai teknik ‘shooting’ yang dipelajari daripada jurulatihnya.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18 (1) itu memberitahu, ilmu yang dipelajari sejak Tahun Enam sedikit sebanyak membantu dirinya lebih mahir mengendalikan busur.

“Antara ilmu yang saya belajar adalah teknik penjagaan busur. Ia memang perlu dibuka dan tidak boleh pasang selalu sebab boleh mendatang kerosakan.

“Walaupun memanah ada yang moden dan tradisional tetapi saya lebih berminat dengan kaedah tradisional,” katanya.

DHIYA HASTA
DHIYA HASTA



CERITA 4:

Bagi pelajar Tingkatan Tiga SMK Putrajaya Presint 16 (1), Dhiya Hasta Mohd Faizal memanah telah membantu meningkatkan daya fokus dan stamina dirinya bukan sahaja dalam sukan tetapi juga dalam pelajaran.

Malah pembahagian masa antara belajar dan berlatih memanah sama sekali tidak menggugat fokusnya serta tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

“Alhamdulillah latihan setiap hari Sabtu sahaja dan ia memang tidak mengganggu pelajaran saya.

“Selain itu, saya juga memasang niat untuk mencuba pertandingan memanah yang lagi hebat pada masa akan datang,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp