Al-Adam beraksi di litar (gambar kiri) dan bergambar bersama jenteranya. - Foto Ihsan Mohd Hamirul
Al-Adam beraksi di litar (gambar kiri) dan bergambar bersama jenteranya. - Foto Ihsan Mohd Hamirul

Litar jadi taman permainan Al-Adam

18 Jul 2025 06:54pm

Tidak ramai kanak-kanak seusianya berani menunggang motor perlumbaan, namun bagi Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff, litar sudah menjadi taman permainan buatnya.

Meskipun baru dua tahun menceburi sukan permotoran, namun pelumba cilik berusia 11 tahun ini sudah mengumpul deretan trofi dan beberapa kali menaiki podium di tempat pertama dan kedua.

Lebih membanggakan, anak bongsu daripada tiga beradik itu dinobatkan Juara Keseluruhan Perlumbaan Pusingan Akhir Sepang International Circuit (SIC) Ohvale Junior Championship kategori 110cc selepas menewaskan 15 pelumba lain dari Vietnam, China, Indonesia dan Singapura di Litar Sepang pada Oktober tahun lalu.

Al-Adam menangi tempat Kedua perlumbaan di podium dalam kategori fim MiniGP Malaysia Series 160cc baru-baru ini. - Foto Ihsan Mohd Hamirul
Al-Adam menangi tempat Kedua perlumbaan di podium dalam kategori fim MiniGP Malaysia Series 160cc baru-baru ini. - Foto Ihsan Mohd Hamirul

Menurut murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap, minatnya bermula apabila sering melihat ramai pelumba berjaya menaiki podium dalam perlumbaan pocketbike.

“Mula-mula saya belajar dengan ayah sahaja...lepas itu saya ikut kelas dan terus berlumba. Paling susah masa main 110cc sebab pelumba lain lebih laju, jadi saya kena kawal mental dan buat yang terbaik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Al-Adam yang kini sedang menjalani latihan di Kuala Terengganu, mengakui berdepan cabaran lebih besar apabila menyertai kategori MiniGP 160cc dalam SIC Ohvale Junior Championship tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, namun tetap berusaha mengekalkan prestasi di podium bagi memastikan dirinya terus bersaing dalam sukan itu.

“Saya rasa susah juga, tapi perlu terus berusaha...alhamdulillah dapat tempat kedua tiga kali dan sekali jadi juara. Saya bercita-cita hendak jadi pelumba negara, sehebat Hakim Danish dan Qabil Irfan,” ceritanya lagi.

Mohd Hamirul (dua, dari kiri) sentiasa memberi sokongan kepada Al-Adam untuk meneruskan minat anaknya itu. - Foto Ihsan Mohd Hamirul
Mohd Hamirul (dua, dari kiri) sentiasa memberi sokongan kepada Al-Adam untuk meneruskan minat anaknya itu. - Foto Ihsan Mohd Hamirul

Sementara itu, bapanya, Mohd Hamirul Aliff Abd Halim, 33, berkata, minat anak bongsunya mula terserlah sejak berusia tujuh tahun apabila sering mengikutnya menunggang motosikal.

Kongsinya, selepas melihat Al-Adam semakin mahir, dia menghantar anaknya ke Klinik Pocketbike di Serambi Teruntum dan membelikannya sebuah pocketbike untuk berlatih seterusnya berlumba.

"Al-Adam minat, saya dan isteri beri dorongan, tahun lalu, dia muncul juara pada penyertaan pertamanya dalam SIC Ohvale Junior Championship. Jadi, dia akan bersaing dalam kategori 160cc pada minggu depan (26 dan 27 Julai) dan kami berharap dia dapat terus cemerlang,” katanya yang menetap di Sungai Isap, Pahang.

Dia yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, mereka terpaksa berulang-alik ke Stadium Gong Badak, Terengganu setiap dua minggu untuk latihan kerana tiada litar khas di Kuantan.

“Di Terengganu ada litar yang sesuai...pernah juga Al-Adam berlatih di dewan berhampiran rumah tapi orang komplen bising,” katanya.

Menurutnya, setakat ini mereka telah mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk penyelenggaraan motor, sut perlumbaan dan pengangkutan dengan sedikit bantuan daripada kerajaan negeri.

Namun ujarnya, bagi yuran pertandingan lima pusingan Fim MiniGP Malaysia Series 160cc pada tahun ini yang berjumlah sekitar RM6,800, mereka masih perlu menanggungnya sendiri.

“Pusingan pertama sudah berlangsung di Sepang dan pusingan kedua di Beranang dengan Al-Adam meraih tempat pertama dan kedua. "Pusingan ketiga nanti di Tangkak bulan ini...kalau rezeki dia kekal tempat kedua, Al-Adam akan wakili Malaysia ke Sepanyol,” jelasnya yang berterima kasih kepada ZK Racing, Zulfahmi Khairudin kerana memberi peluang kepada anaknya menyertai acara berkenaan.

Mohd Hamirul mengakui sukan permotoran berisiko tinggi namun tetap memberi sokongan penuh kepada anaknya yang gigih berusaha.

“Saya tahu motor ini risiko tinggi, macam-macam boleh jadi. Tapi semangat dia kuat, insya-ALLAH bila dia boleh kawal motor tiada apa dan kami doa sentiasa untuk keselamatan dia,” katanya.

Dia berharap ada pihak sudi tampil menaja bagi merealisasikan impian anaknya mengharumkan nama Malaysia dalam sukan permotoran Asia dan dunia.

“Tapi kalau boleh, kami harap ada pihak yang sudi menaja Al-Adam supaya dia boleh maju dan capai cita-citanya,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp