Sebenarnya ramai kanak-kanak yang berumur antara 6 hingga 13 tahun mengakui bahawa mereka pernah menjadi mangsa buli.
Malah, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat 13,134 kes buli yang dilaporkan dari tahun 2000 hingga tahun 2007.
Melihat angka itu sahaja pasti amat membimbangkan ibu bapa serta membuatkan ramai pelajar menjadi takut untuk ke sekolah.
Kes buli merupakan satu masalah yang memerlukan perhatian semua pihak. Namun sebelum itu, kita perlu juga melihat mengapa ada sebilangan pelajar sanggup berkelakuan kejam ini.
Sinar Bestari sangat menentang perbuatan buli di sekolah. Jadi, kami ingin berkongsi apakah antara sebab pelajar membuli.
1. Masalah dari rumah
Persekitaran yang berbahaya di rumah amat tidak sesuai untuk kanak-kanak. Kanak-kanak yang dianiaya oleh saudara-mara sebenarnya lebih cenderung untuk membuli. Ini kerana ketika di rumah, mereka tidak mampu berbuat apa-apa jika dibuli oleh adik-beradik. Oleh itu mereka melepaskan amarah tersebut kepada orang lain dengan cara yang kejam.
2. Populariti dan status sosial
Banyak filem yang menunjukan perbuatan membuli orang adalah satu perkara yang ‘cool’ dan sering pula dilakukan oleh pelajar yang popular. Oleh itu, ada sesetengah pelajar yang terpengaruh dengan adegan ini dan membuli pelajar lain sebagai cara untuk mendapatkan status sosial.
Ini kerana populariti mampu memberi kuasa mempengaruhi orang. Oleh itu, kanak-kanak berfikir perbuatan buli mampu memberikan mereka perkara ini iaitu mendapatkan pengaruh di sekolah.
3. Tekanan rakan sebaya
Tekanan daripada rakan sebaya boleh menjadi sangat kuat dan kadang-kadang mereka merasa tidak mempunyai pilihan lain selain melakukan perkara yang sama, Mereka membuli rakan mereka yang lemah dalam kumpulan tersebut. Ini kerana ada yang melihat adalah lebih baik menjadi pembuli daripada menjadi orang yang dibuli.
4. Buli untuk balas dendam
Apabila kanak-kanak menjadi mangsa buli, mereka mungkin mempunyai kecenderungan untuk membuli kanak-kanak lain sebagai perbuatan membalas dendam.
Kes ini sebenarnya amat kerap berlaku kerana kanak-kanak ini sering merasakan perbuatan tersebut adalah ok bahkan berasa lega apabila dapat membuli orang lain.
Selalunya mangsa adalah mereka yang lebih lemah.
5. Kurangnya empati
Ada juga kanak-kanak yang amat menikmati perbuatan membuli kerana mereka tidak mempunyai rasa empati dalam diri. Ini kerana mereka tidak faham bagaimana sakitnya perkara tersebut, jadi amat penting bagi ibu bapa memantau perkembangan emosi anak masing-masing, jangan abaikan mereka.
Merasakan apa yang dirasakan orang lain dapat membantu membina hubungan yang lebih baik.
6. Kurang perhatian
Kanak-kanak memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada orang dewasa. Mereka perlu merasakan perkara tersebut. Apabila kanak-kanak merasakan mereka seperti"tidak wujud", ia boleh menyebabkan perbuatan keganasan, termasuk membuli orang lain.
Malah perbuatan buli mungkin seolah-olah menjadi sebuah alat untuk mereka mendapatkan perhatian. Ingat, anak-anak yang dilupakan berkemungkinan besar akan menjadi pembuli hanya untuk menjadi"wujud” di mata ibu bapa.
7. Stereotaip dan prejudis
Sebenarnya masalah buli berdasarkan stereotaip dan prasangka juga boleh berlaku, tidak kira di mana-mana sahaja. Kanak-kanak mungkin akan menghadapinya di sekolah, atau di media sosial, dan perkara ini berpunca daripada kepercayaan bahawa kumpulan tertentu adalah lebih baik dari kumpulan yang lain.
Semua orang ingin merasa istimewa dan apabila seorang kanak-kanak berfikir bahawa mereka lebih baik daripada yang lain kerana status sosial mereka atau apa pun alasan lain, perkara ini menimbulkan tingkah laku tertentu, seperti perbuatan buli dan lain-lain lagi.
Diharapkan perkongsian ini dapat membantu ibu bapa memastikan anak-anak mereka tidak menjadi seorang pembuli dan juga mangsa buli. Ayuh, katakan tidak pada buli.
Artikel berkaitan
Graduan UTHM berjaya siapkan tesis di pusat hemodialisis demi menjaga suami sakit
Rahsia tersembunyi pelajar cemerlang, berikut 9 perkara dikongsi mereka
CV dan resume, inilah perbezaan yang pelajar perlu tahu