Sering kali kita mendengar pelbagai ungkapan mengenai bahasa, antaranya bahasa jendela dunia.
Apabila mempelajari bahasa asing, kita tidak hanya mempelajari bahasa baharu, bahkan kita juga belajar mengenai budaya mereka. Salah satu bahasa asing yang terkenal di dunia adalah bahasa Jerman.
Bila menyebut Jerman, ramai yang mengaitkan negara ini sebagai salah satu negara maju di Eropah, terkenal dengan kemajuan teknologinya. Bahkan banyak manfaat jika mempelajari bahasa Jerman seperti dapat menambah pengetahuan tentang negara Eropah itu sendiri.
Tidak ketinggalan, kita turut mempelajari sejarah negara itu, bagaimana ia menjadi negara maju setelah menghadapi masa gelapnya.
Berbicara mengenai kemudahan biasiswa pula, Jerman adalah salah satu negara yang menyediakan banyak biasiswa untuk mendapatkan kuliah secara percuma. Biasiswa tersebut boleh diperolehi dengan mudah asalkan kita memiliki kemampuan berbahasa Jerman dengan baik.
Baca juga 37 tahun berkhidmat sebelum terima Anugerah Tokoh Guru Perak
Mempermudah akses melancong ke Eropah
Apabila mempelajari bahasa Jerman, usaha ini akan memudahkan urusan ketika menjelajahi negara-negara di sekitar Jerman, menyambung pengajian atau bekerja di Eropah. Ini kerana bahasa Jerman tidak hanya digunakan di negara itu malah beberapa negara sekitarnya turut menggunakan bahasa tersebut seperti Austria, Switzerland dan Belgium.
Dalam pada itu, menguasai bahasa ini juga dapat meningkatkan keyakinan diri ketika bercakap dengan rakyat Jerman.
Kita juga akan lebih mudah memahami sastera, seni dan falsafah kerana ramai sasterawan, seniman hingga ahli falsafah terkenal menggunakan bahasa Jerman untuk menterjemahkan pemikirannya.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Karyawan popular seperti Goethe, Kafka, Freud hingga Mozart telah menghasilkan karya hebat malah tulisan mereka itu terasa semakin nikmat jika dibaca atau didengarkan dalam bahasa aslinya.
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai bahasa berkenaan, kita lebih mudah untuk memperoleh pekerjaan.
Ini kerana jika seseorang pekerja yang berkemahiran bertutur dalam bahasa Jerman dianggap mempunyai banyak kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan penutur asli.
Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai pelbagai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak.
Maklumat penulis
Nur Zakiah Amir Hamzah merupakan Guru Bahasa Jerman Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).